
KOTA KINABALU: “Saya berasa seronok dan teruja melihat para pengundi awal yang menjalankan tanggungjawab mereka,” kata calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
Beliau turut menyantuni para pengundi yang terlibat dengan pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini di Markas Pangkalan Armada Timur, TLDM Teluk Sepanggar, pagi tadi. (Foto atas)
Calon PN bagi DUN Merotai, Hasan Haris mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengundi yang datang awal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Saya yakin pilihan anggota adalah mahu pemimpin yang terbaik dan amanah,” katanya yang menyantuni para pengundi di Batalion 14 Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia, Tawau.
Calon PN bagi DUN Kunak, Kasman Karate berkata, beliau berpeluang melihat sendiri proses Undi Awal yang melibatkan anggota polis, tentera dan petugas keselamatan yang bertugas menjaga keamanan negeri.
Menurutnya, mereka datang awal, berbaris dengan disiplin dan melaksanakan amanah mengundi dengan penuh tanggungjawab.
“Inilah contoh terbaik bagaimana demokrasi dijaga oleh mereka yang setiap hari menjaga kita,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua yang turun mengundi.

“Setiap undi anda membawa harapan untuk masa depan Kunak dan Sabah yang sejahtera,” katanya.
Hari ini, seramai 24,426 pengundi awal pada PRN kali ini mengundi di beberapa lokasi seluruh negeri.
Seramai 11,697 pengundi merupakan anggota tentera dan pasangan, sementara 12,729 lagi adalah anggota polis serta pasangan.
Proses membuang undi di 58 pusat pengundian awal dibuka 8 pagi ini sebelum ditutup secara berperingkat. – HARAKAHDAILY 25/11/2025











