
KUALA LUMPUR: Kebajikan tenaga pengajar di Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Orang Kurang Upaya (OKU) sering diabaikan walaupun menggalas cabaran pembelajaran yang lebih besar berbanding insan normal lain.
Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) berkata, beliau sering menerima aduan berkenaan gaji dan elaun rendah tidak sepadan dengan tugas mengurus dan mendidik anak-anak yang berkeperluan tinggi.
Beliau berkata, walaupun kerajaan menetapkan pelbagai manfaat termasuk gaji minumum sebanyak RM1,500 sebulan, perlindungan sosial dan kemudahan cuti, namun faedah tersebut dilihat gagal dilaksanakan.
“Apakah faedah-faedah semasa yang diterima oleh mereka guru-guru Taska ini misalnya elaun khas latihan profesional insurans ataupun cuti tambahan, adakah kerajaan merancang menambah baik skim perkhidmatan.
“Serta menyediakan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran,” katanya ketika membahas Belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), di sini hari ini.
Siti Mastura turut menyentuh mengenai bantuan disediakan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Petrol RON95, namun Subsidi Yuran Pembelajaran Autism kurang diketahui oleh rakyat di negara ini.
Beliau berkata, pihak kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan sokongan tersebut dengan menyediakan kadar maksimum sehingga RM500 sebulan bagi kanak-kanak autisme yang layak.
Beliau mempertikaikan adakah inisiatif tersebut turut merangkumi kelas tambahan terutamanya secara atas talian di mana sangat diperlukan oleh golongan terbabit yang tidak selesa hadir kelas fizikal.
“Pembelajaran anak-anak autism ini memerlukan perhatian intensif, maka ramai ibu bapa mula mencari kelas tambahan secara ‘one to one’ bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing anak-anak autism.
“Bukan semua mampu mengajar dan membantu mereka sebab itulah ada yang memilih kelas atas talian, maka bagaimanakan subsidi ini diberikan mengikut tahap pendidikan, umur atau tahap keperluan,” katanya.
Perkembangan Skuad Waja
Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan perkembangan Skuad Wanita Anti Jenayah (Waja) dilancarkan tahun 2021 bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai masalah jenayah dan keganasan terhadap wanita.
Dr Siti Mastura berkata, inisiatif sukarelawan bernaung di bawah KPWKM itu turut menyediakan bantuan awal psiko-sosial di mana isu keselamatan wanita bukan membabitkan satu etnik sahaja.
Bahkan kerajaan serunya, perlu menyatakan komitmen bagi mengekang gejala itu dalam institusi pendidikan, sekolah dan universiti.
“Mohon penjelasan tahap kemajuan terkini Skuad Waja setiap negeri termasuk ahli berdaftar, sukarelawan aktif dan program advokasi telah dijalankan, apakah indikator kejayaan pelaksanaan Skuad Waja ini.
“Kepala Batas ingin tahu adakah terdapat peruntukan khusus dalam Belanjawan 2026 diumumkan baru-baru ini bagi pelaksanaan Skuad Waja ini pada peringkat komuniti, universiti dan juga sekolah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan majlis pelancaran rasmi Skuad Waja di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) KPWKM oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Majlis tersebut diadakan sempena sambutan Hari Wanita pada 8 Mac 2021 sebelum dilaksanakan secara rasmi pada Oktober 2021 membabitkan latihan ahli dan operasi bagi menangani keganasan terhadap wanita. – HARAKAHDAILY 25/11/2025











