78,000 perceraian, TFR 1.6 Malaysia menuju negara tua

LPPKN perlu diperkasa tangani krisis kependudukan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Halimah Ali (PN-Kapar) menegaskan bahawa isu kependudukan negara kini berada pada tahap yang kritikal dan memerlukan tindakan lebih tegas serta peruntukan lebih besar kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Beliau berkata, kadar kesuburan Malaysia berada pada tahap terendah dalam sejarah negara apabila kadar kesuburan total (TFR) kini hanya 1.6, jauh lebih rendah daripada paras penggantian 2.1.

Menurutnya, situasi itu menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah struktur penduduk yang ‘terlalu tua, terlalu cepat’, sekali gus memberi tekanan besar kepada ekonomi dan sistem kebajikan negara.

“Jadi persoalannya adakah peruntukan RM140 juta untuk LPPKN ni cukup untuk menangani isu besar seperti kesuburan rendah, kos penjagaan anak yang meningkat dan perubahan struktur keluarga,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat, Parlimen di sini hari ini.

Beliau menegaskan, negara memerlukan pendidikan kesihatan reproduktif berfakta di sekolah dan komuniti, program intervensi awal serta latihan pegawai kesihatan keluarga untuk pendekatan lebih mesra remaja.

Katanya, keluarga rapuh dan tekanan ekonomi turut menjadi kebimbangan apabila lebih 78,000 pasangan memfailkan perceraian setiap tahun.

Ia sedangkan tiada program nasional yang benar-benar menangani isu ketahanan keluarga (family resilience) dalam menghadapi tekanan ekonomi, pekerjaan dan sosial.

“Jadi saya mencadang memperluaskan program kaunseling keluarga LPPKN termasuk ke semua daerah termasuk Kapar dan modul pra perkahwinan diwajibkan bagi pasangan yang berisiko,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2025

- Advertisement -
- Advertisement -