Laksanakan WFH dua hari seminggu untuk wanita

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan model kerja fleksibel yang membenarkan wanita bekerja dari rumah (WFH) dua hari seminggu.

- Advertisement -

Beliau berkata, langkah itu penting bagi menyokong penyertaan wanita dalam sektor profesional yang mensasarkan 30 peratus tenaga kerja wanita tanpa menjejaskan peranan utama mereka mendidik anak-anak di rumah.

Menurutnya, Islam sendiri mengiktiraf kedudukan wanita sebagai individu penting dalam pembentukan dasar dan masyarakat, termasuk melalui penglibatan mereka dalam peristiwa besar seperti Perjanjian Hudaibiyah dan Bai’ah Aqabah Kedua.

“Jika kita mahu menarik lebih ramai wanita menyertai sektor berkenaan, mereka perlu diberikan kemudahan yang dapat membantu khususnya dalam urusan mendidik anak-anak.

“Sehubungan itu, Jerantut mencadangkan agar kementerian memberi tumpuan dan membawa perkara ini ke peringkat mesyuarat Kabinet, supaya wanita dalam sektor sasaran 30 peratus ini turut diberikan kemudahan yang membolehkan mereka tidak tercicir daripada tanggungjawab asas mendidik anak di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairil Nizam menyarankan supaya dalam jadual lima hari bekerja, tiga hari di pejabat dan dua hari dibenarkan bekerja dari rumah, bagi memudahkan ibu memantau perkembangan pendidikan dan akhlak anak-anak.

“Kita harapkan kementerian wanita untuk menjadi juara untuk memastikan kita meningkatkan wanita ini pada tahap yang sepatutnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2025

- Advertisement -