Malaysia hadapi krisis keretakan institusi serentak

- Advertisement -

SHAH ALAM: Malaysia hari ini disifatkan sedang mengalami krisis tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, iaitu keretakan pelbagai institusi yang sedang berlaku secara serentak dan pada skala tidak pernah dihadapi oleh mana-mana kerajaan terdahulu.

- Advertisement -

​Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, walaupun tiada kerajaan yang sempurna dan tuduhan rasuah atau kesilapan dasar adalah realiti politik, namun apa membezakan era pentadbiran hari ini adalah skala dan keserentakan (synchronicity) kegagalan tersebut berlaku.

​Menurutnya, satu kontroversi tunggal tidak mampu menggugat sesebuah negara, namun corak kegagalan yang berulang merentasi tunggak utama pemerintahan mampu meruntuhkan struktur negara.

​”Keadaan Malaysia masa kini tercermin dalam tiga belas kegagalan kritikal,” katanya yang juga seorang pengamal undang-undang dan anggota Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS.

​Yusfarizal menggariskan beberapa kegagalan utama yang sedang membelenggu negara, antaranya kebebasan media semakin mengecil sehingga ikon reformasi seperti Datuk Ambiga Sreenevasan sendiri menyifatkan pentadbiran ini sebagai ‘paling diktator’.

​Beliau turut menyentuh mengenai pertimbangan dasar luar yang lemah seperti krisis Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan Global Infrastructure Partners (GIP) yang disifatkan oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas sebagai yang terburuk sejak kemerdekaan.

​”Kredibiliti serantau semakin terhakis, apabila suara-suara berpengaruh di Thailand dan Indonesia semakin menggambarkan Malaysia seolah-olah berkelakuan seperti ‘klien’ atau pak turut Amerika Syarikat.

​”Selain itu, keyakinan terhadap kehakiman semakin terhakis, digariskan oleh penarikan balik kes seorang Timbalan Perdana Menteri walaupun terdapat penemuan prima facie,” tegasnya.

​Beliau turut menyenaraikan kegagalan lain termasuk isu atlet tidak fasih bahasa kebangsaan, tragedi keselamatan awam seperti letupan di Putra Heights, ketidaktentuan menteri pendidikan, kegagalan sistem Pangkalan Data Utama (PADU), serta Perdana Menteri yang memegang potfolio Kewangan.

​Mengulas lanjut, Yusfarizal berkata sejarah Malaysia pernah menyaksikan pelbagai krisis di bawah pentadbiran terdahulu seperti era Tun Mahathir, Dato’ Sri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Dato’ Sri Ismail Sabri.

​Namun katanya, setiap pentadbiran terdahulu hanya berdepan dengan satu kontroversi utama yang mentakrifkan saat itu atau satu garis kerosakan dominan.

​”Apa yang dihadapi negara hari ini adalah sesuatu yang berbeza sama sekali. Kerajaan semasa memikul beban setiap paksi kegagalan utama secara serentak.

​”Tadbir urus, institusi, keselamatan awam, perpaduan negara, pendidikan, diplomasi, tanggungjawab fiskal dan kepercayaan awam semuanya berada dalam tekanan pada detik politik yang sama,” ujarnya.

​Yusfarizal turut memberi amaran agar tidak terpedaya dengan ‘fatamorgana’ angka ekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pelaburan yang dipamerkan kerajaan.

​Jelasnya, sejarah geopolitik membuktikan negara seperti Argentina, Turki dan Sri Lanka pernah mencatatkan keuntungan ekonomi cemerlang tepat ketika asas institusi mereka sedang melemah, sebelum akhirnya jatuh.

​”Tiada jumlah prestasi ekonomi yang mampu menstabilkan sesebuah negara apabila seni bina tadbir urusnya sedang merosot. Sebaik sahaja integriti institusi terhakis, pengaruh geopolitik, keyakinan pelabur dan kestabilan domestik pasti akan turut serta,” katanya lagi.

​Beliau menegaskan bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang bukan sekadar pertandingan antara parti, sebaliknya ia adalah satu perhitungan (reckoning) terhadap trajektori Malaysia sama ada untuk pulih atau terjerumus lebih jauh.

​”Ini bukan sekadar soal politik. Malangnya, ia adalah soal eksistensial (kelangsungan kewujudan),” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2025

- Advertisement -