7 tawaran PN bangunkan Merotai lebih tersusun

Hasan Haris
- Advertisement -

KALABAKAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Merotai, Hasan Haris, tampil memperincikan tujuh tawaran utama bagi memastikan pembangunan DUN itu bergerak lebih sejahtera dan tersusun.

- Advertisement -

Menurutnya, agenda hubungan rakyat dan infrastruktur menjadi keutamaan dengan fokus menaik taraf jalan kampung, liputan internet serta bekalan air termasuk pelan mitigasi banjir bagi kawasan berisiko.

Beliau turut menegaskan kepentingan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan TVET untuk anak muda di samping memperkasakan usahawan kecil serta menyediakan skim bantuan khusus untuk petani dan pekebun.

Katanya, aspek pendidikan juga diberi perhatian melalui usaha memantapkan persekitaran sekolah yang selamat serta membangunkan Tuisyen Rakyat dan Pusat ICT untuk pelajar luar bandar.

Dalam masa yang sama, tawaran afiat kesihatan turut merangkumi mobilisasi Klinik Bergerak ke kampung serta manfaat kesihatan bersasar kepada warga emas, ibu mengandung, OKU dan pesakit kronik.

Hasan juga memberi jaminan untuk menaik taraf prasarana sukan, menyediakan dana pembangunan belia serta menawarkan bimbingan kerjaya, kemahiran dan kepimpinan demi memperkasa golongan muda.

Bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terpinggir, beliau berazam menaik taraf rumah uzur, menyediakan skim bantuan kepada golongan memerlukan dan membina komuniti perumahan yang lebih selamat dan harmoni.

Tawaran beliau dilengkapkan dengan komitmen tadbir urus yang adil dan telus melalui penubuhan Pusat Khidmat Rakyat Merotai yang responsif serta memastikan akses peluang yang saksama kepada seluruh masyarakat. – HARAKAHDAILY 25/11/2025

- Advertisement -