Belanjawan 2026 Selangor dikritik, bersifat kosmetik

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor menyifatkan Belanjawan Selangor 2026 yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai bajet bersifat kosmetik semata-mata dan gagal menyelesaikan realiti permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.

- Advertisement -

​Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, walaupun Selangor terkenal sebagai negeri kaya daripada sudut ekonomi, namun nikmat kekayaan tersebut gagal dirasai sepenuhnya oleh rakyat.

​“Pemuda PAS Selangor melihat Bajet 2026 ini tidak menyelesaikan realiti masalah rakyat di bawah. Apa makna negeri kita kaya namun rakyat tidak dapat menikmati hasil kekayaan negeri ini?

​“Apa makna negeri kaya namun rakyatnya tidak mampu memiliki rumah dan sebahagian besarnya hidup dalam kesusahan?” ujarnya mengulas Belanjawan 2026 Selangor yang dibentangkan minggu lalu itu.

​Beliau turut mengingatkan kerajaan negeri agar menginsafi firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr, ayat 7 yang menekankan agar harta tidak hanya berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja.

​Menurut Mohamed Sukri, belanjawan kali ini dibentangkan dalam keadaan ekonomi yang menghimpit, malah Menteri Besar sendiri menjangkakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri pada 2025 menyederhana sekitar 5.4 peratus.

​Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai nasib Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Selangor pasca kegagalan rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

​“Bagaimana dengan survival PMKS yang bakal ditindas kerana terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat besar dari Amerika Syarikat? Adakah kerajaan bersedia berhadapan kitaran ekonomi yang lebih ganas ini?” soalnya.

​Mengulas tema ‘Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’, beliau berkata slogan di atas kertas tidak memadai apabila data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan penurunan Indeks Kesejahteraan Sosial negeri.

​“Subkomponen Keselamatan Awam mencatatkan pertumbuhan negatif -9.3 peratus manakala Kesihatan menyusut -6.3 peratus.

​“Ini bermakna inisiatif kerajaan negeri tidak berada di landasan tepat. Petunjuk seperti kadar jenayah, kemalangan, kematian ibu bersalin dan nisbah doktor masih membimbangkan,” ujarnya.

​Dalam pada itu ujarnya, kerajaan negeri dilihat tidak bersungguh-sungguh menangani isu perumahan apabila hanya menyentuh sedikit mengenai 970 unit rumah mampu milik dalam projek Selangor Maritime Gateway.

​Jelasnya, data 2024 menunjukkan terdapat lebih 300,000 pemohon Rumah Mampu Milik di Selangor, namun hanya 13 peratus (41,196 unit) yang siap dibina.

​“Di manakah peranan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ketika rakyat tiada rumah? Kami mendesak Menteri Besar membentangkan segera pelan tindakan terperinci bagi menyelesaikan isu fundamental ini,” tegasnya.

​Menyentuh isu sosial, Pemuda PAS Selangor sekali lagi mendesak kerajaan negeri supaya berani mengharamkan penjualan vape serta-merta seperti yang dilaksanakan di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

​Katanya, data menunjukkan 19,450 murid dikesan menggunakan vape, selain wujud risiko penyakit kecederaan paru-paru yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik atau vape (EVALI) yang boleh membawa maut.

​“Apa makna negeri kaya tetapi generasi baharu kita rosak hidup mereka kerana vape yang tidak diharamkan?

​“Pemuda PAS Selangor akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif melalui Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) demi kepentingan rakyat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 25/11/2025

- Advertisement -