Fadhli Shaari sindir politik dua darjat, warisan kuasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari telah mengundang perhatian ribuan warganet yang memberikan pelbagai reaksi terhadap satu status dimuat naik beliau di laman Facebook peribadinya, kelmarin.

- Advertisement -

“Ketika Musa Aman (Tun) dilepas dan dibebaskan daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada tahun 2020, dia bangkit melawan.

“Dia kata, mahkamah mengamalkan sistem perundangan dua darjat dan membuat keputusan tidak memihak kepada rakyat,” coretnya pada status yang dimuat naik bersama empat tangkap layar keratan beberapa portal media.

Keempat-empat keratan itu mempunyai persamaan apabila memaparkan berita berkaitan dua tokoh iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Tun Musa Aman yang dilihat memberi gambaran terhadap persoalan dicetuskannya dalam status itu.

“Soalannya, siapakah dia?” lontar Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam teks berunsur kritikan sinis, sekali gus menyinggung tajam dan mendedahkan ‘wayang politik dilakon’ oleh ‘dia’ dimaksudkannya itu.

Keratan utama memaparkan berita kritikan Anwar selaku Presiden PKR terhadap sistem perundangan mahkamah berikutan keputusan ke atas kes rasuah dan penggubahan wang haram oleh Musa selaku Ketua Menteri Sabah ketika itu.

Disusuli keratan berita bertarikh 21 Disember tahun lalu memaparkan reaksi Anwar selaku Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau telah menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Manakala keratan satu lagi mengandungi tulisan yang dilihat bernada penafian dan cuba ‘mencuci tangan’ atau ‘melepaskan diri’ untuk tidak menyalahkan Anwar berikutan kritikan ramai kepada beliau berkait pelantikan itu.

“Ketika Musa Aman dilantik jadi Yang di-Pertua Negeri Sabah, dia berkata jangan salahkan dia, dia dah cadang beberapa nama lain. Tapi Agong tetap lantik Tun Musa Aman jadi Yang di-Pertua Negeri Sabah,” coret Ahmad Fadhli di status itu yang dilihat selari dengan tangkap layar keratan tersebut.

Muat naik tangkap layar daripada keratan berita paling terkini adalah bertarikh 9 November 2025 memaparkan gambar dan laporan mengenai Anwar mengumumkan anak Musa Aman selaku calon PKR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Sekarang, dia umum anak Tun Musa Aman sebagai calon. Ya, dia sendiri yang umumkan. Calon pula mewakili parti yang dia sebagai Presiden,” ujar Ahmad Fadhli lagi dalam teks status beliau itu. – HARAKAHDAILY 12/11/2025

- Advertisement -