
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali membidas jawapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berhubung seorang bekas Jeneral Thailand yang melabelnya sebagai ‘pengkhianat dan pengintip ASEAN’.
Beliau menyifatkan jawapan Perdana Menteri itu sebagai ‘panjang berjela’ dan ‘penuh bebelan tidak berisi’ serta gagal menjawab soalan pokok yang dipertikaikan.
Kritikan itu merujuk kepada kecaman bekas ketua Stesen Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand, Jeneral Rangsi Kitiyanasap yang melabelkan Anwar sebagai pengkhianat.
Muhammad Rafique berkata, soalan yang dibangkitkan adalah jelas, namun jawapan diberikan oleh Perdana Menteri bersifat mengelak untuk dijawab dengan sewajarnya.
”Soalan jelas, jawapan mesti jelas. Anwar kata dia sudah berkali-kali jawab. Bila dia jawab? Dia kata Rangsi kalah pilihan raya. Dia kata ada yang nak jadikan Rangsi hero. Bila masa kalau tanya soalan maknanya jadikan Rangsi hero?” soal Rafique menerusi satu hantaran di _Facebook_.
Beliau turut mengkritik tindakan Perdana Menteri yang menyalahkan pengkritiknya seolah-olah tidak mahukan keamanan.
”Dia kata yang kecam dia tidak mahu keamanan. Dia kata yang soal dia tidak mahu keamanan, doakan kegagalan. Dia kata keamanan antara Thailand dan Kemboja penting supaya kita Malaysia juga aman,” ujarnya.
Muhammad Rafique turut menyentuh mengenai kebimbangan bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang menurutnya disalah tafsir oleh Anwar.
Beliau berkata, kegusaran SBY adalah mengenai campur tangan kuasa veto (Amerika Syarikat) dalam urusan ASEAN, bukannya mengenai fasal perjanjian dua hala Malaysia-AS.
”Dia (Anwar) kata juga pandangan SBY lebih pada bimbang tentang apa yang dipersetuju Malaysia dipaksakan ke atas Indonesia. Yang dipersetuju berkenaan pengecualian Malaysia iaitu Klausa 5.2 dan 7.3.
”Tapi ini Perjanjian Timbal Balik Amerika dan Malaysia, Indonesia tiada kaitan dengan perjanjian tersebut. Kegusaran SBY adalah pada campur tangan kuasa veto dalam urusan ASEAN,” tegasnya.
Muhammad Rafique menyimpulkan bahawa jawapan panjang lebar Perdana Menteri itu gagal menepati kehendak soalan.
”Soalan mudah jawapan 7 minit 4 saat. Panjang berjela. Penuh bebelan tidak berisi. Dia tak faham soalan atau tak faham apa dia kata? Pilihlah mana satu. Semua orang salah, dia saja yang betul. Bukti Anwar tidak ada kriteria Perdana Menteri,” katanya lagi.
Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat telah berkata, penggantungan perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja bukan berpunca daripada peranan Malaysia sebagai pengantara.
Beliau berkata, keputusan Bangkok itu dibuat selepas mengambil kira gesaan supaya Kemboja mematuhi sepenuhnya perincian perjanjian yang dijangka membawa kepada pembebasan 18 tahanan di bawah Thailand.
”Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul juga tidak pernah mempertikaikan tanggungjawab serta peranan Malaysia dalam proses pengantaraan itu.
”Cuma dia (Anutin) kata, kena gesa supaya Kemboja juga mematuhi (perjanjian) sepenuhnya dan 18 tahanan di bawah Thailand akan dilepaskan semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2025











