PN Sabah akan terus perjuang tuntutan 40 peratus cukai

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini diyakini akan menyaksikan kejayaan PERIKATAN NASIONAL (PN) meletakkan semula pengaruhnya di negeri itu dengan sokongan padu rakyat di peringkat akar umbi.

Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, rakyat Sabah bijak menilai dan tahu untuk memilih kepimpinan terbaik bagi negeri ini.

“Kita juga baca sejarah dan kita juga baca Perlembagaan Persekutuan. Sebab itu, kita tahu bila ada pemimpin besar yang datang ke Sabah dan bercakap tentang 40 peratus cukai yang harus dipulangkan ke negeri Sabah.

“Kita mendengar walaupun dengan nada yang keras dan agak garang, nampak macam nak menakut-nakutkan kita tetapi orang Sabah tahu hak kita di dalam Perlembagaan Persekutuan termaktub melalui perkara 112D, 40 peratus harus dipulangkan ke negeri Sabah.

“Kita tahu sejarah dan kita baca Perlembagaan. Walaupun dikatakan Kerajaan Persekutuan sudah membayar lebih daripada yang dikutip di negeri Sabah. RM17 bilion katanya, sebab itu kita tidak boleh bercakap tentang 40 peratus lagi, betulkah? Betulkah kita tak boleh bercakap 40 peratus selepas ada RM17 bilion? Tidak!” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa majlis Pengumuman Calon-calon PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Negeri Sabah di Penampang, di sini semalam.

Beliau menegaskan bahawa sebahagian daripada jumlah itu adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan terhadap semua negeri termasuk Sabah, merangkumi keselamatan, pendidikan, pentadbiran, kesihatan dan sebagainya.

“Sabah dengan Sarawak ini ada kelebihan melalui Perlembagaan Persekutuan. Ada perkara 112 D dengan C, C dengan D. Sebab tu ada tercatat kelebihan melalui istilahnya peruntukan khas. 

“Tetapi bagi kita di negeri Sabah ini, kita ada lagi kuantumnya, 40 peratus mesti dipulangkan cukai yang dikutip daripada Sabah. Jadi walaupun ada RM17 bilion sebagai tanggungjawab Persekutuan, kita masih menuntut 40 peratus cukai agar dipulangkan.

“Sebab tu kita tidak takut walaupun kena marah-marah tapi kita masih bercakap tentang 40 peratus kerana itu termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Kita tidak boleh mentafsir Perlembagaan Persekutuan melalui tafsiran kita hari ini. Ianya harus ditafsir melalui roh yang dibangkitkan dan dimasukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan 50 lebih tahun yang lalu,” tegasnya.

Beliau turut berkata, rakyat Sabah kekal menuntut hak itu walaupun terdapat teguran keras daripada pemimpin lain.

“Kita harapkan agar perkara ini walaupun dimarah, ditengking, digarang-garangkan oleh pemimpin, tetapi orang Sabah masih kekal dengan menuntut 40 peratus. 

“Kita harap kita pasti perkara 40 peratus ini akan menjadi pertimbangan rakyat Sabah dalam memilih kerajaan yang prihatin terhadap negeri Sabah. Kita yakin rakyat Sabah sudah tahu selepas lima tahun yang lalu ini boleh menilai kerajaan negeri ketika ini.

“Perkhidmatan mereka, kecemerlangan mereka, soal menangani masalah infrastruktur asas dan kemudahan asas air, elektrik dengan jalan raya adalah menjadi penilaian rakyat Sabah menjelang PRN kali ini,” ujarnya.

Ronald berkata, ahli PERIKATAN NASIONAL Sabah kini sudah bersiap siaga sepenuhnya menghadapi PRN 29 November ini.

“Sebab tu Tan Sri Presiden, saya ingin katakan bahawa ahli-ahli PERIKATAN NASIONAL telah siap sedia dan siap siaga untuk sama-sama mengangkat panji-panji PERIKATAN NASIONAL 29 November ini.

“Kami akan pastikan matlamat dan hasrat PERIKATAN NASIONAL diterjemahkan semula di negeri Sabah ini melalui PRN. Kali ini kita akan letakkan kembali kedudukan kita dalam landskap politik Sabah selepas 29 November. Kita Kasi Bagus Sabah,” katanya. – *HARAKAHDAILY 12/11/2025*

- Advertisement -
- Advertisement -