Yakin PN mampu raih mandat rakyat Sabah

PN tampil calon muda, berwibawa

- Advertisement -

KOTA KINABALU: PERIKATAN NASIONAL (PN) menampilkan barisan calon muda dan berwibawa bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini dalam usaha memperkukuh representasi pelbagai etnik dan kelompok masyarakat di negeri itu.
 
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebanyak 41 calon PN telah diumumkan, dengan sebahagian besarnya terdiri daripada tokoh muda, wanita serta golongan akademik yang diyakini mampu membawa perubahan kepada rakyat Sabah.
 
”Kita dah siap umumkan 41 nama yang telah diumum oleh Pengerusi PERIKATAN NASIONAL dan insya-Allah calon-calon yang telah pun diperkenalkan kita lihat sebahagian besar ialah calon-calon muda, tokoh-tokoh muda yang kita ketengahkan yang memang wibawa.
 
“Dalam latar belakang mereka ini dan kita yakin rakyat Sabah kali ini akan beri mandat beri undi kepada PERIKATAN NASIONAL dan ini juga kita ketengahkan tokoh-tokoh besar.

- Advertisement -

“Mewakili apa parti pun kami bekerja di atas semangat PERIKATAN NASIONAL sebagai satu pasukan,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily selepas pengumuman calon PN di sini, semalam.
 
Beliau berkata, senarai calon itu mencerminkan kepelbagaian etnik di Sabah selain memperlihatkan komitmen PN mengetengahkan calon wanita serta tokoh akademik yang berpotensi besar.
 
“Kita ketengahkan tokoh-tokoh ilmiah dan akademik yang hebat termasuklah Dr Aliskbar Gulasan yang diumumkan sebagai calon bagi kerusi DUN N.16 Karambunai.
 
“Sekarang tinggal jentera kita turun habis-habisan pastikan calon yang umum kita mencapai kemenangan dan kita jangan lari daripada fokus bekerja keras pastikan kemenangan kita insya-Allah,” katanya.
 
Sementara itu, calon PN bagi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliskbar Gulasan, 54, menyifatkan sambutan hangat yang diterima sewaktu pengumuman calon sebagai tanda semangat dan kesepaduan seluruh jentera parti menjelang PRN.
 
“Itu tanda semangat PERIKATAN NASIONAL. Saya rasa semua sudah tidak sabar untuk bekerja dan menghadapi pilihan raya kali ini, insya-Allah,” katanya.
 
Apabila ditanya berkenaan strategi kempen, beliau berkata, PN akan terus membawa pendekatan politik yang matang dan harmoni dalam berdepan pilihan raya di Sabah.
 
“Seperti biasa, kita akan bawa politik damai, politik harmoni dan mesra untuk semua. Kita tidak akan bawa politik kasar atau caci maki. Itu identiti PN, menyantuni semua pihak.
 
“Kita ingin bawa politik masa depan, politik solusi yang menyelesaikan masalah rakyat, khususnya dalam konteks Sabah,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2025

- Advertisement -