Kerajaan pastikan projek RTB siap mengikut jadual

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kemajuan semasa bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit telah mencapai 93.08 peratus berbanding jadual yang disasarkan 99.99 peratus.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato’ Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, pakej 2 rancangan terbabit telah mendapat lanjutan masa sebanyak 231 hari dan tarikh siap adalah pada 14 Jun 2026.

“Pakej 1 RTB Sungai Kedah/Anak Bukit telah siap pada Oktober 2012, sementara pakej 3 telah siap sepenuhnya pada April 2021. Pemantauan projek akan dijalankan bagi memastikan projek disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

“Tindakan akan diambil berdasarkan syarat-syarat kontrak sekiranya terdapat ketidakpatuhan dalam pelaksanaan projek,” jelas beliau menjawab soalan Rashidi Razak (PN-Anak Bukit) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Wisma Darul Aman, hari ini.

Pada pertanyaan itu, Rashidi inginkan penjelasan berkenaan status projek RTB sungai berkenaan dan tindakan pihak kerajaan untuk memastikan ia dapat disiapkan dengan kadar segera bagi mengurangkan risiko banjir serta keselamatan penduduk.

Berikutan itu kata Yusoff, kerajaan sentiasa memberi perhatian memastikan projek itu siap sepenuhnya dengan kadar segera ialah dengan menjalankan pemantauan dan penyelarasan berterusan.

“Dalam tempoh penyiapan projek, pihak kerajaan melalui pasukan projek akan berkerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah untuk memastikan risiko banjir berada pada tahap yang minimum dan keselamatan penduduk diutamakan.

Menjawab soalan tambahan yang juga diajukan Rashidi berkenaan usaha Kerajaan Negeri memastikan projek berkenaan berjalan lancar pada masa hadapan, Yusoff berkata, setakat ini jalinan kerjasama bersama agensi kerajaan diperkukuhkan bagi memastikan isu-isu berkaitan diselesaikan.

“Kerajaan Negeri akan memperkukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan seperti JPS, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan semua kelulusan teknikal, pelan reka bentuk serta isu utiliti diselesaikan tanpa kelewatan.

“Pendekatan bersepadu ini membantu mempercepatkan kelulusan Kebenaran Merancang, pemindahan utiliti dan kelancaran kerja di tapak,” kata beliau lagi.

Dalam masa yang sama, beliau juga menegaskan, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada penguatkuasaan dengan membantu agensi dalam proses pengambilan balik tanah supaya pembinaan tidak terganggu dan berjalan lancar.

Kerajaan Negeri juga jelasnya, akan turut melibatkan komuniti setempat dengan mengadakan sesi libat urus bagi menjelaskan tujuan dan manfaat projek.

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman masyarakat, malah membantu mengurangkan rungutan dan gangguan sepanjang pelaksanaan projek.

“Kesimpulannya, usaha bersepadu Kerajaan Negeri dalam aspek kerjasama antara agensi, pengurusan risiko dan penglibatan masyarakat amat penting bagi memastikan projek RTB berjalan lancar serta dan mengikut jadual,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/11/2025

- Advertisement -