Kerajaan Kedah turunkan kadar premium tanah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Rungutan rakyat berkaitan kadar premium yang dikatakan agak tinggi serta membebankan pemohon diambil cakna oleh Kerajaan Negeri.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pentadbiran tanah Kedah telah membuat kajian dan semakan semula berkenaan kadar premium tersebut.

“Tindakan ini berikutan terdapat rungutan daripada pemohon terutama dari kalangan berpendapatan rendah berhubung hal tersebut,” jelasnya menjawab soalan diajukan Mohd Radzi Md Amin (PN-Pedu) pada pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Menurutnya lagi, berdasarkan semakan semula tersebut, kadar premium di bawah Kaedah 8 Kaedah-Kaedah Tanah Kedah Darul Aman 2018 telah dipinda semula dan diwartakan pada 3 April 2025 lalu.

Pada pertanyaan itu, Mohd Radzi mohon penjelasan apakah langkah Kerajaan Negeri dalam mempertimbangkan rayuan rakyat terhadap kadar premium yang agak tinggi khususnya di lot kediaman dan pertanian di negeri itu.

Justeru jelas Muhammad Sanusi, pengurangan kadar premium yang dikenakan pada 2025 berbanding 2024 bagi kategori pertanian adalah sebanyak 10 hingga 30 peratus.

Mengulas lanjut katanya, bagi pemohon berpendapatan isi rumah RM1,700 ke bawah, kadar premium kekal 10 peratus daripada nilaian tanah.

Manakala bagi berpendapatan antara RM1,701 hingga RM5,000 dikenakan kadar premium 20 peratus daripada nilaian berbanding 30 peratus sebelum ini.

Sementara pendapatan RM5,001 hingga RM7,000 pula sebanyak 25 peratus berbanding 40 peratus.

“Untuk kategori bangunan iaitu kediaman sebanyak 10 hingga 20 peratus  mengikut pendapatan isi rumah. Kadar baharu bagi pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah ialah 30 peratus berbanding 40 peratus sebelum ini.

“Bagi pendapatan isi rumah RM5,001 hingga RM7,000 kadar premium 35 peratus berbanding 50 peratus; RM7,001 hingga RM10,000 pula 40 peratus berbanding 60 peratus.

“Lebih RM10,000 kadar premium yang dikenakan adalah 50 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi, kategori perniagaan dan bangunan lain, kadar premium kekal 100 peratus daripada nilaian tanah.

Dalam perkembangan yang sama, menjawab soalan tambahan Dato’ Dr Mohd Hayati Othman (PN–Tokai), Sanusi berkata, perubahan status hanya boleh dilakukan dengan permohonan rasmi daripada pemilik tanah.

Pada soalan tambahan itu, Mohd Hayati inginkan penjelasan berhubung cadangan menukar syarat tanah pertanian kepada kediaman bagi menambah hasil negeri.

“Tukar kategori boleh, tapi perlu mohon. Jika pemilik ubah guna tanah tanpa kebenaran, ia dianggap melanggar syarat dan boleh dikenakan tindakan atau kompaun mengikut Kanun Tanah Negara (KTN),” jelas beliau lagi. HARAKAHDAILY 11/11/2025

- Advertisement -