Pelancongan Kedah dipergiatkan sejajar TMM 2026

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 bukan sahaja dilaksanakan untuk mempromosikan Kedah, malah sebagai permulaan kepada kerancakan industri pelancongan di negeri itu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, justeru semua pemain industri disarankan agar mengambil bahagian terus mempromosikan Kedah ke seluruh dunia sama ada melalui media massa elektronik mahupun digital.

“Di pihak Kerajaan Negeri, usaha membaik pulih, membangunkan serta mengaktifkan destinasi pelancongan baharu semakin diaktifkan di seluruh Kedah.

“Antara contohnya, kemudahan lif di Gunung Keriang yang sekian lama terbiar, Tree Top Walk di Sungai Sedim yang memerlukan pembaikan.

“Kedua-dua tarikan ini perlu diperbaiki dan diberi nafas baharu agar dapat kembali aktif sebagai destinasi pelancongan pilihan menjelang tahun hadapan,” kata beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Aman, hari ini.

Beliau menjelaskan perkara tersebut bagi menjawab soalan diajukan Abdul Ghafar Saad (PN-Guar Chempedak) yang inginkan penjelasan berhubung lonjakan serta perancangan pelancongan di negeri ini khususnya untuk tahun 2026.

Kerajaan Negeri juga katanya, turut giat meneroka destinasi pelancongan baharu untuk diketengahkan kepada umum, antaranya Taman Eko Rimba Sungai Teroi serta mempromosi pokok Mengkundor gergasi yang berusia lebih 100 tahun, berukur lilit sebesar kira-kira 25 pemeluk dewasa di Gunung Jerai. 

Selain itu ujar Dato’ Salleh lagi, Kerajaan Negeri juga sedang mengindahkan Pantai Leman dan Port Padang Garam di Kuala Kedah yang dahulunya kurang diberi perhatian, namun dengan wajah baharu ia kini semakin menjadi tumpuan pengunjung.

“Hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri, Kedah Tourism Sdn Bhd dengan pelbagai agensi dan rakan strategik dalam serta luar negara kini semakin kukuh. Jalinan ini membolehkan Kedah Tourism melaksanakan pelbagai aktiviti promosi pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Setakat ini, Kedah Tourism telah melangkah keluar ke Jepun, Thailand dan Brunei bagi melaksanakan aktiviti promosi secara langsung. Kedah Tourism juga berjaya menganjurkan sendiri program Business to Business (B2B) di Sabah, yang memberi peluang kepada 16 syarikat dan agensi pelancongan untuk menyertai sesi berkenaan.

“Langkah ini amat bermakna kerana inilah kali pertama agensi Kerajaan Negeri mengambil inisiatif sedemikian sekali gus memberi pengalaman berharga kepada sebahagian peserta yang tidak pernah mengikuti pelaksanaan promosi seperti itu,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu lagi.

Mengulas lanjut jelasnya, pada tahun ini beberapa program Familiarisation Trip telah diadakan di Kedah, melibatkan hampir 300 peserta yang terdiri daripada ejen pelancongan, pempengaruh media sosial, wakil media  dalam dan luar negara termasuk Thailand, China serta Indonesia.

Pelaksanaan program ini ujarnya, dijayakan melalui kerjasama erat antara Kedah Tourism dengan beberapa rakan strategik seperti Tourism Malaysia, Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Islamic Tourism Centre (ITC), serta Travel4All dari Indonesia.

“Hasil daripada segala usaha dan inisiatif yang dijalankan ini akan dapat kita nikmati pada tahun hadapan, bersekali dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

“Selain memperkukuh promosi di dalam dan luar negara, Kerajaan Negeri juga akan terus memastikan lebih banyak produk pelancongan baharu dapat diperkenalkan dan diketengahkan kepada para pengunjung yang datang ke Kedah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/11/2025

- Advertisement -