
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri sentiasa peka dan mengambil langkah proaktif menangani peningkatan kes penyakit berjangkit seperti demam denggi, leptospirosis dan lain-lain melalui tindakan bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi-agensi berkaitan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Hilmi Abdullah berkata, statistik penyakit demam denggi sehingga 4 Oktober 2025 menunjukkan penurunan ketara dengan hanya 1,192 kes dilaporkan berbanding 2,510 kes bagi tempoh sama tahun 2024.
Katanya, ia menunjukkan penurunan sebanyak 52.51 peratus, manakala bagi tahun ini tiada kes kematian akibat denggi dilaporkan berbanding dua kematian pada tahun lepas.
“Dari segi wabak, sebanyak 87 wabak denggi telah dilaporkan sehingga 4 Oktober 2025 berbanding 161 wabak pada tempoh sama tahun 2024. Ini bermaksud penurunan sebanyak 46 peratus dan kesemua wabak berkenaan telah tamat tanpa sebarang wabak aktif pada masa ini,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama) pada persidangan kali ketiga (Belanjawan) bagi Dewan Negeri Kelantan Ke-15 tahun 2025, hari ini.
Hilmi berkata, strategi utama dalam menangani penyakit demam denggi ialah melalui pendekatan pengurangan sumber dengan memastikan kebersihan persekitaran penduduk bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan JKNK dalam usaha pencegahan pembiakan nyamuk tersebut.
Antara langkah dan aktiviti proaktif yang telah serta akan dilaksanakan termasuklah penganjuran program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bilangan 1 Tahun 2025 peringkat negeri yang dirasmikannya pada 20 Jun lalu di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.
Program itu turut disertakan dengan pelancaran projek Pelepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia di Bandar Baru Kubang Kerian.
“Pada masa sekarang terdapat tiga lokaliti pelepasan nyamuk Aedes berwolbachia di negeri Kelantan,” katanya.
Tambahnya, program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bilangan 2 Tahun 2025 juga akan diadakan di Daerah Tanah Merah pada bulan November ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman denggi dan kaedah mengatasinya.
Selain itu katanya, pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Kota Bharu turut melaksanakan tindakan penguatkuasaan bersepadu bersama Pejabat Kesihatan Daerah bagi memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan tumpuan awam seperti Pasar Siti Khadijah.
“Kerajaan negeri juga terus memperkukuh kolaborasi dengan agensi berkaitan termasuk PBT dan komuniti setempat bagi memastikan usaha pencegahan denggi dilaksanakan secara berterusan dan berkesan di seluruh negeri,” ujarnya.
Dalam masa sama katanya, tumpuan turut diberikan untuk mempergiat aktiviti pencegahan melalui peningkatan tahap kebersihan persekitaran penduduk.
“Antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah menambah bilangan tempat pembuangan sampah di kawasan pinggir bandar serta menyediakan lebih banyak lori pemungut sampah supaya penduduk tidak lagi membuang sampah di kawasan belakang rumah masing-masing yang akhirnya menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2025











