DUN Kelantan lulus usul tolak ART berkaitan REE

- Advertisement -

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan usul menolak federalisasi sumber dan hasil mineral tanpa partisipasi negeri serta mempertegas hak negeri.

- Advertisement -

Zubir Abu Bakar (PAS-Mengkebang) mengemukakan usul itu dilakukan selepas Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas pada 26 Oktober lalu.

Beliau berkata, perjanjian tersebut turut membabitkan sumber nadir bumi (REE), sedangkan bahan tersebut merupakan hak negeri dan memerlukan persetujuan negeri terhadap sebarang keputusan.

“Aspirasi Kerajaan Pusat untuk mewujudkan rantaian industri sumber nadir bumi (REE) di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran adalah disokong, namun bercanggah tanpa penglibatan kerajaan negeri.

“Apa sahaja dasar pelan pembangunan atau perjanjian antarabangsa yang menyentuh sektor mineral dan hasil mesti dibuat dengan rundingan rasmi dan libat urus penuh negeri sebagai pemilik,” katanya.

Speaker DUN Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah dalam pada itu berkata, beliau meneliti usul tersebut malah memenuhi tiga syarat yang ditetapkan iaitu mustahak, kepentingan rakyat dan perlu disegerakan.

Usul tersebut turut dibahas secara panjang lebar oleh Wan Rohimi Wan Daud (PAS-Melor) dan undi mendapat persetujuan keseluruhan wakil rakyat DUN Kelantan tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang.

Sebelum ini, Majlis Menteri Besar Kerajaan Empat Negeri (SG4) menegaskan REE merupakan hak mutlak kerajaan negeri yang sudah termaktub di bawah Jadual Sembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis memilik 70 peratus REE di negara itu mahu memastikan hasil kekayaan itu diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 11/11/2025

- Advertisement -