
KOTA BHARU: Kerajaan negeri disaran melangkah ke arah ekonomi baharu yang lebih lestari dan strategik berasaskan ilmu serta inovasi, sejajar dengan kekuatan sebenar negeri ini.
Nik Bahrum Abdullah (PAS-Chempaka) berkata, walaupun Belanjawan Kelantan 2026 menunjukkan disiplin fiskal tinggi dengan jumlah keseluruhan RM1.43 bilion dan defisit berkurang kepada RM86 juta, namun struktur hasil negeri masih terlalu bergantung kepada tanah, premium dan hasil hutan.
Katanya, walaupun sumber tersebut tidak salah, tetapi ia tidak mampan untuk jangka panjang.
“Sudah tiba masanya Kelantan beralih kepada ekonomi baharu yang lestari, strategik dan sesuai dengan kekuatan sebenar negeri,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri Kelantan 2026 di Dewan Undangan Negeri.
Beliau berkata antara sektor yang boleh dijadikan pemacu ekonomi baharu ialah pelancongan Islam dan ekopelancongan komuniti.
Menurutnya, Kelantan mempunyai kelebihan unik seperti budaya Islam yang hidup, seni warisan, sistem pendidikan Islam, makanan tradisional dan rakyat yang mesra di mana boleh dijadikan model pelancongan berteraskan syariah dengan penglibatan masyarakat tempatan.
“Jika dikendalikan secara profesional, sektor ini mampu menjadi sumber hasil baharu tanpa menjejaskan alam sekitar,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Halal Hab Timur yang beroperasi sepenuhnya dengan fokus kepada industri pemprosesan makanan, kosmetik dan farmaseutikal halal bagi menjadikan Kelantan pintu masuk eksport halal ke selatan Thailand dan ASEAN.
Selain itu katanya, potensi ekonomi digital dan teknologi hijau juga wajar diterokai secara serius melalui penubuhan Digital Talent Park, manakala sektor tenaga boleh baharu seperti tenaga suria dan biogas di luar bandar boleh dijadikan sumber hasil negeri.
Dalam sektor pertanian, beliau menekankan keperluan beralih kepada pertanian pintar dan agroekonomi moden, dengan memberi peluang kepada golongan muda menjadi agropreneur yang mengurus, menjenamakan dan memasarkan produk mereka sendiri.
“Inilah masa untuk kita menulis bab baharu dalam ekonomi Kelantan — daripada ekonomi berasaskan sumber kepada ekonomi berasaskan ilmu dan inovasi. Itulah wajah sebenar Ekonomi Berkat,” katanya.
Nik Bahrum turut menyentuh Teras Pembelaan dan Pemberdayaan Rakyat yang memperuntukkan RM67 juta sebagai bukti kerajaan tidak berpaling daripada tanggungjawab sosial terhadap rakyat.
Namun katanya, bantuan semata-mata tidak akan memutuskan rantai kemiskinan, sebaliknya rakyat perlu diberi peluang berdikari melalui skim mikro usahawan dan projek jaya diri.
“Bantuan bukan tilam yang melalaikan, tetapi benih yang menumbuhkan keyakinan,” katanya sambil mencadangkan penubuhan Kluster Usahawan Komuniti di setiap mukim.
Dalam sektor agro, beliau menegaskan bahawa keterjaminan makanan kini menjadi isu strategik negara dan peruntukan RM6.5 juta mesti dilaksana secara komersial, moden dan berimpak nyata.
“Projek seperti melon madu di Rong Chenok, ladang anggur di Lojing dan lembu Naimbif mesti menjadi model ekonomi sebenar, bukan sekadar contoh di laporan. Rakyat mahu lihat hasil, bukan papan tanda,” ujarnya.
Beliau mencadangkan penubuhan Agro Hub Kelantan Timur sebagai pusat pemprosesan dan pemasaran hasil tani, serta memperkenalkan Penarafan Pelaburan Berimpak Sosial (Kelantan Impact Rating) bagi menilai sumbangan pelabur kepada komuniti tempatan.
Beralih kepada Teras Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Negeri dengan peruntukan RM95 juta, Nik Bahrum menegaskan ia bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi pelaburan terhadap maruah hidup rakyat.
Katanya, masalah air perlu dilihat sebagai isu tadbir urus dan kerajaan mesti berani menilai semula model pengurusan air negeri supaya rakyat mendapat bekalan air bersih yang stabil.
Beliau juga mencadangkan pelaksanaan program Komuniti Bersih Sejahtera di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menggalakkan budaya kebersihan berasaskan komuniti dengan sistem ganjaran dan penalti.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik program melibatkan wanita, belia dan keluarga seperti GENTERA, Az-Ziwaaj dan Dana Belia Niaga, namun mencadangkan penubuhan Majlis Belia Negeri sebagai platform tetap anak muda menyumbang idea dasar negeri.
“Kalau kita mahu mereka setia kepada negeri, berilah mereka tanggungjawab untuk memakmurkannya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kelestarian alam mesti menjadi garis dasar dalam setiap pembangunan agar negeri ini terus makmur dan amanah kepada generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 11/11/2025











