
KOTA KINABALU: PERIKATAN NASIONAL (PN) mempertaruhkan 90 peratus muka baharu sebagai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, yang diumumkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengumuman tersebut dibuat sempena Majlis Pengumuman Calon-calon PN PRN Sabah di Penampang, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menegaskan keperluan untuk Negeri Di Bawah Bayu itu berubah menjadi lebih baik berbanding biasa.
”Kita mahu situasi dan keadaan di Sabah ini mesti berubah, lebih berubah dari biasa. Sabah telah pun melalui pilihan raya yang ke-17, suatu tempoh yang sudah lama. Nak katakan Sabah ketinggalan tidak benar, itu kenyataan yang kita kena terima.
”Tapi hakikat yang sebenarnya masih banyak perkara yang perlu dilakukan bahawa Sabah perlu menjadi salah sebuah negeri yang termaju di negara kita ini,” katanya.
Muhyiddin dalam ucapannya itu turut menyentuh isu infrastruktur yang masih membelenggu negeri tersebut dengan pelbagai masalah hingga menyulitkan kehidupan dan sosio-ekonomi rakyat Sabah.
”Kenapa isu infrastruktur di Sabah masih menjadi masalah? Ada bekalan tetapi tiada elektrik. Kalau tak ada sehari pun bekalan elektrik, akan lumpuh sosio-ekonomi kita,” katanya lagi.
Ujar Muhyiddin, walaupun beliau bukan orang Sabah, hati dan jiwanya berada di Sabah yang diungkapkan seperti rumah keduanya.
”Sabah adalah rumah kedua saya. Jangan salah faham, rumah kedua di Sabah, rumah masih satu di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Pada PRN kali ini, PN mengesahkan akan bertanding di 40 kerusi DUN, dengan menampilkan 90 peratus muka baharu serta lima calon wanita.
Bagi Parlimen Kudat, calon-calonnya ialah Rahimah Majid (N.01 Banggi), Berusli Kimin (N.02 Bengkoka), dan Muhammad Affan Jumahat (N.04 Tanjong Kapor).
Di Parlimen Kota Belud, Awang Salleh Makmud bertanding di N.08 Pintasan.
Bagi Parlimen Tuaran, calonnya ialah Datin Tiaminah @ Siti Aminah Ele (N.12 Sulaman) dan Mohd Zulkernain Osman (N.13 Pantai Dalit).
Untuk Parlimen Sepanggar, calon-calonnya adalah Datuk Dr Aliakbar Gulasan (N.16 Karambunai), Nabila Norsahar (N.17 Darau), dan Ooi Hong Wee (N.21 Luyang).
Di Parlimen Putatan, Suhaimi Buang (N.22 Tanjong Aru) dan Farish Adamz Shah @ Kanny (N.24 Tanjung Keramat) dicalonkan.
Bagi Parlimen Penampang, Francis Mojikon bertanding di N.26 Moyog.
Di Parlimen Papar, calonnya ialah Adrian Alexander (N.27 Limbahau) dan Faizal Julaili (N.29 Pantai Manis).
Ridzuan Agus Payong pula bertanding di N.30 Bongawan bagi Parlimen Kimanis.
Untuk Parlimen Beaufort, Mohammad Hisyam Hazaril (N.32 Klias) dicalonkan.
Di Parlimen Sipitang, PN meletakkan Dg Nor Syafiqah Abdul Hamid bertanding di N.35 Sindumin.
Bagi Parlimen Ranau, calonnya Dr Atong Antong (N.36 Kundasang), manakala Johny @ John Anthony pula di N.41 Liawan.
Di Parlimen Pensiangan, Sayau Tangkap bertanding di N.46 Nabawan.
Bagi Parlimen Beluran, calon-calonnya ialah Jamin Jamri (N.47 Telupid), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (N.48 Sugut) dan Asmad Nasir (N.49 Labuk).
Bagi Parlimen Libaran, calonnya adalah Yunus Nurdin (N.50 Gum-Gum), Yusri Abu (N.51 Sungai Manila), dan Norani Asmatil (N.52 Sungai Sibuga).
Di Parlimen Batu Sapi, Mohd Fazriee Awang bertanding di N.53 Sekong.
Untuk Parlimen Sandakan, Mohd Firdaus @ Silvester Abdullah (N.55 Elopura) dan Koa Wei Yang (N.56 Tanjong Papat) dicalonkan.
Bagi Parlimen Kinabatangan, calonnya Mazlin Madali (N.58 Lamag) dan Pengiran Petra Pengiran Asri (N.59 Sukau).
Calon lain ialah Borkes @ Balkis Kalinggalan (N.62 Silam) dan Kasman Karate (N.63 Kunak).
Di Parlimen Semporna, calonnya Abdul Malik Abd Bool (N.64 Sulabayan) dan Jamil Abdul Gapar (N.66 Bugaya).
Bagi Parlimen tawau, Dr Munzier Mahamud (N.67 Balung) dan Lim Ting Khai (N.68 Apas) bertanding.
bagi Parlimen kalabakan, calon-calonnya ialah Francis Lawrence @ Yusop (N.70 Kukusan), Ahmad Dullah (N.71 Tanjung Batu), Hasan Haris (N.72 Merotai), dan Suhurani Sammani (N.73 Sebatik). – HARAKAHDAILY 11/11/2025











