
KOTA KINABALU: PAS Sabah mempertaruhkan lima tokoh untuk mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah Ke-17, iaitu Pesuruhjayanya, Datuk Dr Aliakbar Gulasan (Karambunai), Ahmad Dullah (Tanjung Batu), Dr Munzier Mahamud (Balung), Hasan Haris (Merotai), dan Kasman Karate (Kunak).
Datuk Dr Aliakbar Gulasan sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan bagi penggal 2020-2025, pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Medic Iman (KMI) Tawau Medical Centre (2025) dan Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sejak 2023.
Dilahirkan pada 8 Februari 1971, Ali Akbar, 54, memiliki latar belakang akademik cemerlang dengan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Geografi Bandar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau juga merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama 24 tahun (1996-2020) dan pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) dari 2020 hingga 2021.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah, pula ditampilkan sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.71 Tanjung Batu.
Ahmad, 57, merupakan seorang usahawan dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), di mana dalam arena politik, beliau adalah Yang Di-Pertua PAS Kawasan Kalabakan sejak 2010.
Penerima Bintang Kinabalu (BK) dan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) ini turut memegang pelbagai jawatan penting dalam masyarakat.
Yang Dipertua PAS Kawasan Lahad Datu, Kasman Karate, diumumkan sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.63 Kunak.
Kasman, 41, merupakan Guru Besar Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Falah, Kunak sejak 2019.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Daerah Kunak bagi sesi 2020-2023 dan kini menggalas amanah sebagai Timbalan Pengerusi PN Lahad Datu.
Doktor perubatan, Dr Munzier Mahamud, 35, dinamakan sebagai calon PN bagi kerusi DUN N.67 Balung.
Lulusan Kuliah Perubatan, Universiti Iskandariah, Mesir, ini kini merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau (sejak 2024).
Beliau juga aktif dalam khidmat masyarakat sebagai Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Sabah (sejak 2018).
PN turut mempertaruhkan Hasan Haris sebagai calon di DUN N.72 Merotai.
Hasan, 48, merupakan pemegang Diploma Perbankan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah dan mempunyai pengalaman luas dalam sektor perbankan.
Beliau kini merupakan Ahli Perhubungan PAS Sabah dan aktif dalam Jabatan Amal Malaysia Kawasan Kalabakan. – HARAKAHDAILY 11/11/2025











