
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri komited menaik taraf prasarana pelancongan di Pulau Perhentian termasuk aspek keselamatan jeti, kemudahan awam dan pengurusan sisa pepejal bagi memastikan Kuala Besut kekal sebagai pintu masuk pelancongan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, beberapa projek dan inisiatif sedang dan akan dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan pulau itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Menurutnya, antara usaha utama ialah projek naik taraf dan baik pulih jeti kerajaan berhampiran Resort Coral Bay, Jeti Pasir Panjang dan Jeti Teluk Keke dengan kos RM3.1 juta peruntukan oleh Kementerian Kewangan kepada Majlis Daerah Besut (MDB).
“Projek ini bertujuan memastikan pelancong mendapat kemudahan jeti yang lebih selesa dan selamat,” katanya ketika menjawab soalan Azbi Salleh (PAS-Kuala Besut) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Razali berkata, aspek pengurusan sisa pepejal turut diberikan perhatian serius.
“Kontrak kutipan dan pemindahan sisa, Majlis Daerah Besut (MDB) mengurus sistem kutipan sisa dan tender kontraktor yang mengangkut sampah dari pulau ke tanah besar untuk pelupusan; ini mesti diselenggara dengan kontrak terikat KPI.
“Berkaitan pengurusan sisa pepejal, Majlis Daerah Besut telah melantik kontraktor pembersian awam untuk menjalankan kerja-kerja pembershan dan kutipan sisa pepejal di Pulau Perhentian,” katanya.
Selain itu beliau berkata, pelbagai program kesedaran turut dijalankan termasuk inisiatif pembersihan pantai dan dasar laut seperti Dive Against Debris serta aktiviti beach clean-up yang digerakkan oleh sukarelawan dan syarikat korporat di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama UNDP, MDB, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu serta komuniti setempat bagi menjaga ekosistem dan konservasi marin pulau tersebut,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pendidikan kepada pengusaha penginapan dan pengunjung mengenai pengurangan penggunaan plastik sekali guna turut diterapkan.
Dalam pada itu katanya lagi, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu turut menambah baik kemudahan awam di Pusat Taman Laut Pulau Perhentian termasuk penyediaan surau, tandas dan bilik persalinan bagi kemudahan pelancong.
“Selain penyediaan kemudahan asas tersebut, pelbagai program dan inisiatif turut dilaksanakan oleh Pejabat Perikanan Negeri Terengganu bagi memperkukuh pengurusan sert pemuliharaan alam sekitar di kawasan Pulau Perhentian,” katanya. – *HARAKAHDAILY 11/11/2025*











