RM1.95 juta dipohon bagi sektor padi di DUN Air Putih

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian memohon sebanyak RM1.95 juta bagi pembangunan dan pengukuhan sektor tanaman makanan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih bagi tahun 2026.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, peruntukan itu melibatkan keluasan 403.5 hektar serta memberi manfaat kepada 200 penerima yang terlibat dalam aktiviti penanaman makanan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, antara projek diberi tumpuan ialah Skim Pengairan Padi di Paya Paman, Kemaman, dengan kerja menaik taraf sistem pengairan dengan membina sistem tali air utama melibatkan kos RM500,000 yang siap dilaksanakan tahun ini.

“Naik taraf ini membolehkan pesawah sebelum ini bertanam sekali setahun boleh menanam padi dua kali setahun.

“Untuk pengetahuan sejak tahun 2019, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta bagi menaik taraf sistem pengairan dan infrastruktur di kawasan padi Paya Paman dan Paya Dadong, Kemaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Hafiz Adam (PAS-Air Putih) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Hafiz minta menyatakan status penambahbaikan sistem pengairan di kawasan padi Paya Paman.

Azman turut menggalakkan petani di daerah itu untuk lebih giat mengusahakan tanaman padi bagi memastikan bekalan beras tempatan terus terjamin.

“Orang Kemaman kena rajin-rajin buat padi. Kalau tidak dapat tanam dua kali setahun, cuba usaha supaya dapat empat kali dalam dua tahun,” katanya berseloroh. – HARAKAHDAILY 11/11/2025

- Advertisement -