
KOTA KINABALU: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa hampir 30 peratus calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah Ke-17 terdiri daripada golongan anak muda.
Beliau berkata, komposisi calon yang diumumkan menunjukkan PN menampilkan wajah baharu dengan hampir 90 peratus merupakan muka baru dalam politik pilihan raya kali ini.
“Baik, saya telah umumkan semua nama-nama daripada jumlah yang saya telah sebutkan tadi, hampir 90 peratus muka baru. Tengok muka-muka mereka ni. Ha ini dia,” ujarnya semasa berucap dalam majlis Pengumuman Calon-calon PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Negeri Sabah di Penampang, di sini hari ini.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, PN turut menampilkan enam calon wanita, iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan calon yang diketengahkan.
“Kita ada enam calon wanita, 15 peratus daripada keseluruhannya. Kita beri tepukan khas kepada calon-calon wanita,” katanya disambut tepukan hadirin.
Beliau menzahirkan harapan agar semua calon yang diumumkan diberi kepercayaan dan diterima oleh rakyat sebagai calon terbaik mewakili PERIKATAN NASIONAL.
“Jadi dengan pengumuman yang telah pun saya buat ini, kita semua berdoa mudah-mudahan mereka ini akan nanti terpilih sebagai calon kita, calon PERIKATAN NASIONAL,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon, 25 November pengundian awal dan 29 November sebagai hari mengundi bagi PRN Sabah ke-17.
Writ pilihan raya dikeluarkan pada hari yang sama selepas mesyuarat khas SPR berhubung pembubaran DUN Sabah pada 6 Oktober lalu.
Sebanyak 73 kerusi akan dipertandingkan dalam PRN17 Sabah yang melibatkan 25 kawasan Parlimen di negeri itu. — HARAKAHDAILY 11/11/2025











