Tasik Kenyir, Sekayu diberi nafas baharu tarik pelancong

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri memperhebat usaha mengembalikan semula kegemilangan Tasik Kenyir dan Air Terjun Sekayu sebagai destinasi eko-pelancongan utama negeri menerusi pelbagai inisiatif pembangunan, naik taraf infrastruktur serta promosi berimpak tinggi.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri komited memastikan dua lokasi pelancongan itu kembali menjadi tumpuan selepas merekodkan penurunan ketara jumlah pengunjung dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut beliau, Air Terjun Sekayu yang pernah menerima lebih 100,000 pelancong setahun kini mencatat kurang 10,000 pengunjung, manakala Tasik Kenyir yang pernah menarik lebih 600,000 pelawat setahun kini berkurangan kepada kurang 200,000 pelawat.

“Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi termasuk KETENGAH dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu sedang melaksanakan pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan daya tarikan kedua-dua lokasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Zawawi Ismail (PAS-Telemung) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Razali berkata, sehingga 28 Oktober lalu, sebanyak 76 rumah bot dan 57 bot laju beroperasi di Tasik Kenyir di bawah Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT).

“Bagi membantu pengusaha pelancongan, kerajaan negeri memberikan pengurangan 50 peratus caj lesen navigasi tahun ini, melibatkan kutipan hasil sebanyak RM42,275,” katanya.

Langkah itu, katanya, membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pengusaha pelancongan tempatan dan memperkukuh sektor eko-pelancongan di Tasik Kenyir.

Sementara itu katanya, antara projek yang diluluskan di bawah projek pemulihan, pemuliharaan, ubah suai dan naiktaraf (PPUN) 2025 ialah menaik taraf Taman Orkid Tasik Kenyir berjumlah RM380,000.

Juga pelancongan di Gua Bewah, Tanjung Bewah dan Melunak Trail berjumlah RM500,000 serta tangga utama dan kemudahan pengangkutan barang di Taman Negara Terengganu, Tanjung Mentong, Tasik Kenyir bernilai RM250,000.

Selain itu, beliau berkata, KETENGAH turut melaksanakan projek tambahan seperti pembinaan Taman Mini Awam di Gawi Point, naik taraf enam jeti pelancongan, pembinaan dua pos kawalan baharu, pemasangan lampu solar pintar dan CCTV, serta pembinaan mercu tanda ikon pelancongan Tasik Kenyir.

Bagi Air Terjun Sekayu katanya, kerajaan negeri menumpukan kepada projek penyelenggaraan infrastruktur Taman Eko Rimba Sekayu bernilai RM330,000 di bawah peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity (EFT).

Selain itu, Taman Pertanian Sekayu yang dibuka semula pertengahan tahun ini turut diberi nafas baharu dengan penambahan produk taman tema air bagi menarik pengunjung domestik.

Kata beliau, kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga KETENGAH juga giat melaksanakan program promosi pelancongan melalui penganjuran pelbagai acara berimpak tinggi.

“Antaranya, Festival Kenyir  Geopark 2025 yang telah diadakan pada 30 Oktober hingga 1 November 2025 berjaya menarik kehadiran hampir 70,850 pengunjung sekali gus memperkukuh kedudukan Tasik Kenyir sebagai Geopark Kebangsaan dan destinasi pelancongan utama negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2025

- Advertisement -