
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa apabila disebut apa-apa yang berakhir dengan ‘isme’, maka semuanya tidak betul dan bukan daripada ajaran Islam.
Beliau berkata, meskipun ada yang kelihatan seolah-olah selari dengan ajaran Islam, itu hanyalah kebetulan semata-mata.
“Hakikatnya, asas dan tunjang pemikiran yang melahirkan fahaman-fahaman itu tidak pernah berpaksikan kebenaran wahyu. Yang benar hanyalah al-Quran dan hadis, iaitu jalan Islam yang lurus, tidak bercabang dan tidak berbelah bahagi,” ujarnya.
Beliau menegaskan, Islam hanya satu dan tidak ada yang disebut sebagai ‘Islam jenis itu’ atau ‘Islam versi ini’.
“Dahulu, sekitar tahun lima puluhan hingga enam puluhan, muncul segolongan yang cuba memperkenalkan istilah ‘Sosialisme Islam’,” terangnya.
Menurut beliau, seorang ulama besar dari Syria, Syeikh Mustafa al-Siba‘i pernah menulis buku bertajuk Al-Isytirakiyyah al-Islamiyyah menjelaskan keadilan sosial Islam dalam suasana dunia Arab yang dikuasai ideologi sosialis.
“Penggunaan istilah itu akhirnya menimbulkan kekeliruan, lalu ramai ulama menegur. Dalam karya-karya selepas itu, beliau tidak lagi menggunakan istilah tersebut.
“Dan menegaskan bahawa Islam berdiri di atas asasnya sendiri, tanpa perlu disandarkan kepada mana-mana fahaman ciptaan manusia,” ceritanya.
Menurut Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Islam tidak perlu disesuaikan dengan ideologi atau istilah lain.
“Kerana Islam itu Islam. Ia tidak perlu disesuaikan dengan ideologi atau istilah lain. Maka, apabila disebut ‘Islam liberal’, itu juga satu istilah yang salah.
“Islam tidak pernah liberal, kerana apabila ia liberal, maka ia bukan lagi Islam. Kadang-kadang istilah itu digunakan supaya masyarakat mudah faham, tetapi dari segi hakikatnya ia tidak benar,” ulasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor turut menjelaskan berhubung istilah ‘hadis palsu’ yang menurutnya tidak tepat digunakan.
“Begitu juga dengan istilah ‘hadis palsu’. Sebenarnya, tidak ada yang disebut ‘hadis palsu’. Hadis tetaplah hadis, dan yang palsu itu bukan hadis.
“Dalam istilah ilmu hadis, ia dinamakan al-Maudhu‘āt (الموضوعات), iaitu perkara yang direka dan dicipta oleh manusia, tidak bersumber daripada Nabi Muhammad SAW,” terangnya.
Beliau berkata, hadis yang diterima dan dikategorikan dalam ilmu Islam hanya ada tiga iaitu sahih, hasan dan daif.
“Selain daripada itu bukan hadis, tetapi al-Maudhu‘āt,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2025











