Ikut jejak Brunei, haramkan arak dalam pesawat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir menyambut baik tindakan Ahli Parlimen (MP) Hulu Selangor, Hasnizan Harun yang membawa suara rakyat ke Parlimen berhubung isu hidangan arak dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS).

Beliau berkata, gesaan supaya arak tidak lagi dihidang atas pesawat nasional itu sangat wajar memandangkan risiko keselamatan yang boleh timbul sekiranya penumpang mabuk sehingga mencetuskan kekacauan dalam penerbangan.

“Duti eksais minuman beralkohol dalam bajet ini dicadang dinaikkan 10 peratus dengan alasan untuk menggalakkan cara dan tabiat hidup yang sihat. Jika kerajaan serius maka cadangan MP Hulu Selangor ini sangat wajar.

“Risiko keselamatan kiranya penumpang mabuk dan timbulkan kacau ganggu sehingga boleh mengancam keselamatan pesawat dalam penerbangan sangat tinggi. Insiden seumpama ini bukannya tidak pernah berlaku,” ujarnya.

Menurut beliau, sekiranya di tempat awam seperti Pantai Port Dickson pun kerajaan negeri Negeri Sembilan boleh mengharamkan minuman keras bagi menghormati sensitiviti masyarakat dan memelihara ketenteraman awam, lebih wajar larangan itu dilaksanakan dalam pesawat yang ruangnya sempit dan berisiko tinggi.

“MP Hulu Selangor turut mendedahkan mendengar rungutan daripada kakitangan kabin yang tidak selesa terpaksa menghidangkan minuman ini ketika di udara. Untuk makluman, minuman beralkohol dihidang secara percuma dalam sektor penerbangan antarabangsa atas permintaan,” jelasnya.

Roslan berkata, kerajaan sepatutnya tidak lagi berdolak-dalik dalam isu itu memandangkan beberapa negara Islam lain termasuk Brunei sudah mengharamkan hidangan arak dalam pesawat mereka.

“Kerajaan Madani ini usahlah berdolak-dalik lagi. Jika Kerajaan Brunei pun boleh haramkan sebagaimana sebahagian negara Islam lain, kenapa tidak Malaysia? Hormatilah sensitiviti rakyat Malaysia terutama kakitangan dan penumpang Islam.

“Menunggu PM10 (Perdana Menteri ke-10) umumkan pengharaman ini nanti, jika benar hormat rakyatlah,” katanya yang juga Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. – HARAKAHDAILY 14/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -