Belanjawan 2026 – Perbahasan YB Bachok

- Advertisement -

TUAN Yang di-Pertua,

Terima kasih kerana memberikan peluang kepada Bachok untuk mengambil bahagian dalam perbahasan RUU Perbekalan Belanjawan 2026.

Saya mulakan dengan firman Allah SWT (yang bermaksud):

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa yang bertawakkal (berserah diri sepenuhnya kepada Allah), maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Sungguh Allah telah menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Talaq: 2-3).

- Advertisement -

Tuan Yang Di-Pertua,

Terlebih dahulu saya mewakili ibu-ayah dan adik-kakok di kawasan Parlimen Bachok, menzahirkan solidariti dan kebersamaan terhadap saudara kami di bumi Palestin, khususnya di wilayah Gaza yang terkepung.

Sesungguhnya perjuangan untuk membebaskan Palestin amat dekat di hati rakyat Malaysia, termasuklah di Bachok, seawal perjuangan yang dibawa Ahli Parlimen Bachok yang pertama, Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad, mantan Timbalan Yang Di-Pertua PAS – secara lantang telah mendesak di Parlimen supaya kerajaan Persekutuan Tanah Melayu tidak mengiktiraf kewujudan negara haram Israel, walaupun penubuhannya telah diluluskan melalui Resolusi 181 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Sesungguhnya pengorbanan dan daya juang yang tinggi, beserta strategi diplomasi dan advokasi mutakhir ini telah membuka mata dunia, dan pastinya akan membuka lembaran baharu kepada seluruh warga Palestin untuk mengecap nikmat kemerdekaan, seterusnya hidup dengan aman di Negara Palestin yang berdaulat dan merdeka, insya-Allah.

Palestin, perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim.

Tuan Yang Di-Pertua,

Berbalik kepada Belanjawan 2026 yang bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’, dibentangkan dalam suasana politik dan ekonomi yang mencabar, dalam keadaan kerajaan berdepan dilema untuk mengekalkan disiplin fiskal dan tanggungjawab menjana pertumbuhan, di samping keutamaan untuk meringankan beban hidup rakyat.

Justeru yang akan menilai dan menghakimi kejayaan dan keberhasilan sesebuah belanjawan, bukanlah pakar ekonomi dan para birokrat, tetapi rakyat.

Pakcik yang masih menunggu lama di hospital dan klinik kerajaan,
Makcik yang apabila ke pasar berkira-kira untuk membayar harga ikan dan sayuran,
Petani, penternak, dan nelayan yang masih menunggu pemberian insentif dan bantuan,
Anak muda dan graduan yang masih tercari-cari peluang pekerjaan, dan
Ibu bapa yang gusar akan keselamatan anak-anak di sekolah kerajaan.

[Sebelum ini kes di Sabah, hari ini kes di Melaka, sangat menyayat hati, sangat menjijikkan. Jauh daripada nilai ‘karamah insaniah’ yang dilaungkan Menteri dan Kerajaan]

Tuan Yang Di-Pertua,

Kekangan fiskal dan keperluan penstrukturan menyeluruh.

Secara umumnya, kerajaan dilihat meneruskan langkah berhemat ke arah pengukuhan fiskal secara berperingkat, dengan unjuran defisit fiskal 3.5 peratus daripada KDNK, selaras dengan sasaran 3.0 peratus yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal.

Sejumlah 338.2 bilion ringgit diperuntukkan untuk belanja mengurus (OE), manakala 81 bilion ringgit diperuntukkan untuk belanja pembangunan (DE). Dana GLC dan GLIC yang dimasukkan sekali itu, di luar skop perbahasan kita.

Bagi tahun 2026, ekonomi Malaysia diunjur berkembang lebih rendah antara 4.0 hingga 4.5 peratus, susulan ketidaktentuan ekonomi dunia yang berterusan. Namun, dengan strategi peningkatan hasil yang terhad, kerajaan berdepan dengan struktur belanjawan yang tepu dan kaku, yang menghadkan perbelanjaan pembangunan.

Perbelanjaan pembangunan (DE) kekal pada kadar RM81 bilion, iaitu kurang daripada empat peratus KDNK, sebahagian besarnya terikat dengan projek sedia ada seperti ECRL, LRT3, projek RTS Link dan Lebuhraya Pan Borneo. Hal ini menghadkan keupayaan fiskal bagi pelaburan baharu berimpak tinggi di bawah RMK-13.

Kedudukan hutang negara juga kekal tinggi, meninggalkan hanya sedikit penampan fiskal terhadap kejutan masa hadapan.

Nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK mencecah 64.7 peratus setakat akhir Jun 2025, hampir tidak berubah sejak pelaksanaan tahun pertama Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).

Akta tersebut mewajibkan kerajaan mengemukakan pelan pelarasan fiskal sekiranya gagal mencapai sasaran 60 peratus hutang kepada KDNK, sesuatu yang kelihatan sukar dicapai dalam keadaan semasa. Langkah seperti penstrukturan semula perbelanjaan, pengurangan ketirisan serta penglibatan GLC dan GLIC dalam program awam masih merupakan penyumbang lemah terhadap penampan fiskal berbanding langkah penjanaan hasil yang amat diperlukan.

Tuan Yang Di-Pertua,

Golongan M40 berdepan tekanan kewangan lebih hebat berbanding B40.

Kemampuan golongan pendapatan sederhana (M40) untuk menyimpan semakin merosot, sekali gus meletakkan kumpulan itu dalam kedudukan lebih rentan berbanding golongan berpendapatan rendah (B40), demikian menurut Tinjauan Celik Kewangan Malaysia 2025 oleh RinggitPlus.

Kaji selidik itu mendedahkan hanya 23 peratus responden M40 mampu menyimpan antara RM1,001 hingga RM1,500 sebulan, menurun daripada 29 peratus pada 2024. Sebaliknya, bilangan mereka yang menyimpan kurang daripada RM500 melonjak kepada 39 peratus, petunjuk jelas bahawa daya tahan kewangan golongan ini semakin rapuh.

Kajian Bank Negara Malaysia turut mengesahkan fenomena ini. Dilaporkan hanya 58 peratus rakyat Malaysia yang aktif membuat simpanan untuk masa depan, manakala sebahagian besar masih tidak mampu berdepan kecemasan kewangan bernilai RM1,000.

Cabaran lain yang turut disentuh termasuklah transformasi digital yang mengubah cara rakyat berbelanja, daripada e-dompet hingga skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), hadir dengan risiko pembelian tidak berhemah dan kes penipuan atas talian yang semakin meningkat.

Malaysia juga bakal berdepan status negara menua dalam tempoh sedekad akan datang, dengan peratusan warga emas yang semakin meningkat setiap tahun, namun tahap persediaan kewangan masih jauh ketinggalan apabila hanya 36 peratus pencarum KWSP mencapai penanda asas simpanan persaraan.

Perancangan persaraan, pembiayaan kesihatan, melindungi warga emas daripada penipuan kewangan – semua ini menuntut tindakan tegas untuk menjamin kesejahteraan kewangan rakyat pada masa depan.

Tuan Yang Di-Pertua,

Agenda membasmi kemiskinan adalah usaha kolektif, dan tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata. Sebaliknya usaha tersebut menuntut kerjasama erat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Baitul Mal, badan korporat, NGO, dan individu prihatin.

Pengukuran kemiskinan tradisional yang hanya menilai tahap pendapatan tidak lagi mencerminkan realiti sebenar kehidupan rakyat. Di Malaysia, secara tradisinya, kemiskinan diukur dalam satu dimensi, iaitu menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Berdasarkan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah 2024, nilai PGK nasional terbaharu telah ditetapkan kepada RM2,705, paras miskin tegar pula ditetapkan kepada RM1,236.

Manakala kemiskinan relatif melibatkan jurang perbandingan antara isi rumah miskin dan masyarakat setempat, yang mungkin tidak miskin dari segi pendapatan mutlak tetapi masih ketinggalan dalam taraf hidup, akses pendidikan atau penjagaan kesihatan.

Adapun kemiskinan pelbagai dimensi pula menggabungkan pelbagai aspek termasuk kesihatan, pendidikan, taraf hidup dan akses kepada kemudahan asas, sekali gus memberikan gambaran yang lebih tepat tentang kesejahteraan sebenar rakyat.

Sebagai salah satu strategi untuk memerangi kemiskinan, program latihan berdasarkan indeks kemiskinan pelbagai dimensi (MPI) harus dibangunkan untuk memberikan pengetahuan yang lengkap kepada agensi pelaksana di lapangan, termasuklah organisasi dan individu yang terlibat bagi memahami dan menangani kerumitan kemiskinan yang melangkaui langkah berasaskan pendapatan semata-mata.

Khusus untuk Bachok, kami bersedia untuk bekerjasama meneruskan program pembasmian kemiskinan yang telah pun dijalankan sebelum ini. Saya mengharapkan penglibatan lebih ramai ketua isi rumah, ibu tunggal dan golongan belia agar dapat keluar (graduasi) daripada belenggu kemiskinan.

Tuan Yang di-Pertua,

Program bantuan tunai dan mobiliti sosial.

Bantuan tunai seperti STR dan SARA, dahulunya BR1M, BSH, BPN, BKM; sememangnya penting bagi meringankan beban hidup rakyat berpendapatan rendah.

Namun persoalannya, adakah dasar ini benar-benar memperkukuh mobiliti sosial rakyat, atau sekadar menjadi alat melegakan kesusahan sementara?

Matlamat sebenar bantuan tunai bukan sekadar menyara hidup, tetapi hendaklah mampu mengubah taraf kehidupan, yang disebut mobiliti sosial.

Mengambil inspirasi daripada sistem zakat dalam Islam, iaitu memberikan zakat kepada orang miskin supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan, dan mengubah daripada penerima zakat kepada pembayar zakat.

Perlu difahami, bantuan yang disalurkan tanpa penyasaran teliti bukan sahaja tidak efisien, malah berisiko mengalihkan sumber daripada kumpulan paling memerlukan. Lebih membimbangkan, pendekatan yang bersifat ‘menyelimuti semua’ ini bercanggah dengan hasrat sistem PADU, yang sepatutnya membolehkan bantuan kerajaan dirangka berasaskan data isi rumah dan keperluan sebenar rakyat.

Kajian Khazanah Research Institute (2024) membuktikan bahawa bantuan tunai hanya berkesan apabila direka dengan baik, disasar tepat dan dipantau rapi. Namun, sistem bantuan negara kini masih terpecah antara agensi dan cenderung bersifat reaktif. Akibatnya, ramai penerima terus kekal dalam kitaran kebergantungan, tanpa peluang meningkat ke tahap ekonomi yang lebih baik.

Oleh itu, dasar bantuan tunai mesti diiringi strategi keluar yang berperingkat, menghubungkan penerima dengan latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan pengawalan kos sara hidup yang lebih menyeluruh. Itulah ukuran sebenar kejayaan dasar, apabila rakyat bukan lagi bergantung kepada kerajaan, tetapi mampu berdikari dan maju ke hadapan.

Tuan Yang Di-Pertua,

Mengukuhkan kerjasama Negeri–Persekutuan.

Pelaksanaan Belanjawan 2026 hanya akan berjaya jika wujud kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Dalam sistem federalisme, kecekapan pelaksanaan dasar bergantung kepada sejauh mana negeri diberi ruang merancang dan menilai pembangunan di negeri dan daerah masing-masing.

Pertama, dalam aspek perkongsian hasil, sudah tiba masanya diwujudkan formula tetap yang mengiktiraf sumbangan ekonomi wilayah, khususnya bagi negeri pengeluar sumber seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, di samping mengiktiraf peranan negeri-negeri maju (Selangor, Pulau Pinang, Johor) yang lebih terhadapan dalam aspek perkongsian kutipan cukai.

Kedua, dari segi pembangunan wilayah, projek Belanjawan 2026 mesti berpaksikan keperluan sebenar negeri dengan penyelarasan rapi antara EPU, MOF dan UPEN, serta dipantau melalui mekanisme bersepadu yang telus dan berasaskan data. Ini memastikan setiap ringgit pembangunan benar-benar sampai kepada rakyat.

Ketiga, dalam pelaburan, negeri perlu diberi kuasa rundingan lebih fleksibel untuk menarik pelabur strategik di sektor pertanian moden, pelancongan dan industri halal, melalui model perkongsian pelaburan bersama Persekutuan dan GLC tempatan. Pendekatan ini bukan sahaja adil, tetapi memperkukuh rasa memiliki terhadap pembangunan nasional.

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi negeri Kelantan, isu utama bukan hanya jumlah peruntukan, tetapi mekanisme pelaksanaan dan ketelusan projek.

Banyak projek pembangunan tertangguh kerana kelewatan proses teknikal antara agensi Persekutuan dan negeri, terbaharu projek LPT3, di samping prestasi kontraktor dan kelewatan projek yang ketara. Ini perlu diperbaiki.

[Semalam saya ikuti bengkel belanjawan bersama MB dan EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, ada pengaduan tentang penjawatan Jurutera Jajahan (JJ JKR) yang masih kosong, sekali gus menjejaskan proses pemantauan projek Persekutuan di negeri Kelantan].

Selain itu, status pelanjutan insentif pelaburan ke Wilayah ECER oleh Kerajaan Persekutuan, yang sebelum ini telah dilanjutkan untuk tempoh dua tahun. Mohon pihak MITI dan MIDA jelaskan, ini kerana pakej insentif ini amat penting dalam menarik pelaburan baharu dan mengembalikan momentum ekonomi di Wilayah ECER.

Dalam konteks Bachok pula, kawasan ini mencerminkan realiti sosio-ekonomi luar bandar yang sedang bergerak dari ekonomi tradisional ke ekonomi baharu.

Dengan kedudukan strategik antara Kota Bharu dan Tok Bali, Bachok berpotensi menjadi hab pertumbuhan baharu yang menggabungkan kelestarian alam sekitar dengan pembangunan ekonomi rakyat. Potensi besar wujud dalam sektor pertanian moden, perikanan bernilai tambah, pelancongan pesisir pantai, pendidikan tinggi, dan keusahawanan luar bandar.

Tuan Yang di-Pertua,

Sebagai penutup, kejayaan sebenar Belanjawan 2026 bukan diukur pada defisit atau pertumbuhan KDNK semata-mata, tetapi pada kesejahteraan hidup rakyat di bandar mahupun desa.

Belanjawan yang baik bukan sekadar dokumen perbelanjaan, tetapi instrumen dasar pembangunan untuk memperkukuh ekonomi rakyat, memperbaiki sistem, dan memulihkan kepercayaan kepada keadilan negara.

Bachok akan terus memainkan peranan sebagai suara rakyat luar bandar, menuntut pembangunan yang seimbang dan berhemah, tanpa menolak tanggungjawab bersama membina Malaysia yang lebih adil, makmur dan berdaya tahan.

Pembangunan hendaklah menyeluruh, dan kemakmuran hendaklah dikongsi bersama.

Sekian daripada Bachok.
Terima kasih Tuan Yang Di-Pertua.

MOHD SYAHIR CHE SULAIMAN
Ahli Parlimen Bachok
(Dibahaskan pada Isnin, 13 Oktober 2025)  – HARAKAHDAILY 14/10/2025

- Advertisement -