
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pusat wajar membuka kembali ruang kepada pemimpin masyarakat dan wakil rakyat untuk memasuki sekolah bagi membantu memantau kebajikan dan keselamatan pelajar.
Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, gesaan itu susulan insiden tragik melibatkan seorang pelajar perempuan di Melaka baru-baru ini, yang mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan pelajar di sekolah masa kini.
Menurutnya, kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah itu amat menyentuh hati dan menimbulkan persoalan terhadap tahap keselamatan pelajar masa kini.
“Sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat dan mendidik, bukan punca ketakutan atau trauma kepada pelajar. Namun, kejadian yang berulang menunjukkan kawalan semakin longgar, manakala nilai tanggungjawab dan keprihatinan bersama makin terhakis,” ujarnya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu, wakil rakyat di kawasan masing-masing boleh berperanan sebagai penasihat komuniti pendidikan yang memahami masyarakat setempat, mengenali ibu bapa dan mengetahui keadaan sebenar pelajar.
“Tanggungjawab menjaga keselamatan dan membentuk sahsiah pelajar perlu dikongsi bersama, bukan dipikul sekolah semata-mata. Sikap sombong dan menutup pintu terhadap penglibatan masyarakat perlu dihentikan.
“Pendidikan bukan urusan eksklusif kementerian semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh rakyat,” katanya yang juga Ketua BERSATU Negeri Terengganu.
Razali juga menyeru agar pendekatan baharu diwujudkan dengan melibatkan ibu bapa, agensi agama, pemimpin tempatan dan pertubuhan masyarakat untuk memperkukuh keselamatan serta pembangunan sahsiah pelajar.
“Kita tidak boleh terus berdiam diri apabila sekolah mula menjadi tempat yang menakutkan. Masa untuk berubah sudah tiba,” katanya mengulas kejadian tersebut di mana mangsa mengalami trauma termasuk tidak mahu ke sekolah selepas dipercayai dirogol bergilir-gilir dua pelajar senior.
Lebih menjijikan perbuatan tersebut dirakam dan dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di sebuah kelas di Alor Gajah kira-kira jam 2.50 petang pada minggu lalu. – HARAKAHDAILY 14/10/2025











