
KUALA LUMPUR: Produk masakan tradisional negeri Perlis terus menyerlah di pentas nasional apabila Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan dua hidangan istimewa iaitu Kurma Daging Perlis dan Kurma Ayam Perlis.
Pelancaran berlangsung penuh meriah itu menandakan satu langkah penting dalam memperkasa warisan kulinari negeri berkenaan, dengan kedua-dua hidangan ini menjadi simbol keaslian rasa dan warisan resepi turun-temurun rakyat Perlis.
Kurma Daging dan Kurma Ayam Perlis bukan sekadar juadah harian, ia adalah manifestasi seni masakan warisan negeri yang diolah dengan penuh teliti, menggunakan adunan rempah asli serta kaedah moden tanpa mengorbankan cita rasa dan keharumannya.
Resipi tersebut dirumus khas bagi menepati selera pengguna masa kini sambil mengekalkan keaslian bahan dan rempah yang menjadi identiti masakan utara tanah air.
Inisiatif berimpak tinggi ini merupakan cetusan Tuanku Raja Muda sendiri yang berhasrat untuk memperkenalkan dan memperkukuh promosi masakan autentik serta produk tempatan negeri Perlis.
Melalui kerjasama erat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), usaha ini menjadi wadah mengangkat produk warisan tempatan agar lebih dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa.
Turut hadir dalam majlis bersejarah ini ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail serta Pengerusi Eksekutif RGFI, Datuk Mohd Radzuan Abdullah dan Pengarah La Changgung Marketing, Sulia Awang.
Sebagai peneraju dalam penghasilan produk makanan sedia dimasak (RTC) dan sedia dimakan (RTE), RGFI menggunakan teknologi Thermal Decontamination System (TDS) bagi memastikan setiap produk mengekalkan rasa asli, kesegaran, dan kualiti premium setanding masakan tradisional sebenar.
Selain dua produk utama tersebut, RG Food Industries Sdn Bhd (RGFI) turut memperkenalkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) lain seperti Gulai Daging Rebung Utara, Pekasam Timah Tasoh Perlis, dan Belacan Madu Kuala Perlis.
Usaha ini membuktikan bahawa masakan tradisional bukan hanya tentang rasa, tetapi juga tentang identiti dan maruah negeri.
Ia menjadi platform strategik bagi memperluas promosi budaya, memperkenalkan keunikan cita rasa Perlis, serta membuka peluang ekonomi baharu kepada pengusaha tempatan. – HARAKAHDAILY 14/10/2025











