
GEORGE TOWN: Kegagalan pentadbiran Kerajaan Madani semakin jelas terpampang di mata rakyat apabila isu demi isu yang melanda sejak awal tahun 2025 membuktikan bahawa slogan dan retorik politik tidak mampu menyelamatkan rakyat daripada himpitan kos sara hidup serta kemerosotan ekonomi.
Fenomena troli sarat dengan barang belian yang ditinggalkan di kaunter pasar raya ekoran sistem RM100 SARA MyKad gagal berfungsi menjadi bukti nyata rakyat kini benar-benar kehilangan kuasa membeli.
Mereka hadir ke pasar raya dengan harapan bantuan itu mampu meringankan beban, namun terpaksa pulang dengan tangan kosong.
Adegan troli ditinggalkan ini tular di media sosial telah menjadi simbol paling jelas kegagalan kerajaan yang mendakwa memperjuangkan kesejahteraan rakyat.
Lebih membimbangkan, laporan terkini Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) mendedahkan lebih 100,000 unit rumah gagal dijual hanya dalam suku pertama 2025.
Angka mengejutkan ini menzahirkan realiti getir bahawa rakyat bukan sahaja tidak mampu membeli barangan asas, malah semakin jauh daripada impian memiliki rumah sendiri.
Pengarah Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid berkatw, masalah ini berpunca daripada dua faktor utama iaitu kos sara hidup terus melonjak serta ekonomi negara yang semakin merudum.
“Rakyat terpaksa melakukan dua pekerjaan untuk menampung kenaikan harga barang, manakala harga rumah pula terus melambung tanpa kawalan. Dalam keadaan ekonomi yang runtuh, rakyat dipaksa memilih antara membeli makanan atau menyimpan impian memiliki rumah.
“Persoalan besar, mengapa kerajaan masih tergesa-gesa mahu meluluskan Rang Undang-Undang Urban Renewal (URA)? Apa rasionalnya memaksa rakyat berpindah kononnya demi pembangunan semula sedangkan rumah baharu yang dibina pun tidak terjual?” tegas beliau.
Ironinya kata beliau, ketika rakyat mengikat perut, Kerajaan Madani pula sibuk melancarkan pelbagai inisiatif yang lebih bersifat kosmetik daripada menyelesaikan masalah sebenar.
Program bantuan tunai yang tidak tersusun, sistem MyKad sering bermasalah, serta janji-janji pembangunan tidak berpijak pada realiti hanya menambah luka di hati rakyat.
“Kegagalan ini bukan sekadar persepsi. Ia dibuktikan dengan fakta dan angka rasmi. Troli yang ditinggalkan di pasar raya serta laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Nagara (NAPIC) mengenai rumah gagal dijual merupakan simbol rakyat semakin miskin dan tidak lagi berdaya saing di tanah air sendiri,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Anas menegaskan bahawa Kerajaan Madani perlu berani mengakui kelemahan mereka dan menutup mata dengan propaganda tidak akan mengubah hakikat bahawa rakyat sedang menderita.
“Malaysia memerlukan dasar yang kukuh, tegas dan berpihak kepada rakyat, bukannya slogan serta retorik yang hanya indah di bibir. Selagi kerajaan enggan mengubah haluan, selagi itulah rakyat akan terus menanggung akibat daripada pentadbiran yang gagal,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2025











