
KUALA LUMPUR: Senator Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas penganjuran program ‘Jom Masuk U (Universiti)’ yang disifatkan berjaya membantu pelajar serta ibu bapa dalam merancang hala tuju pendidikan anak-anak.
Beliau berkata, program itu memberi kefahaman jelas kepada masyarakat khususnya golongan pelajar untuk menentukan masa depan mereka, sekali gus mendapat sambutan yang amat baik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan antara isu penting perlu diberi perhatian ialah usaha kerajaan dalam menggalakkan pelajar memilih bidang kritikal yang amat diperlukan negara, berbanding hanya mengikut minat semata-mata.
“Soalan saya, bagaimanakah program ini atau seumpamanya yang dianjurkan pihak kementerian mampu mengalih minat pelajar daripada memilih bidang yang mereka minati kepada bidang kritikal yang amat diperlukan oleh negara?
“Secara khususnya, saya (juga) ingin bertanya apakah jumlah kemasukan pelajar daripada negeri Kelantan ke universiti dan apakah kecenderungan mereka di dalam memilih bidang yang ditawarkan,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan Tinggi pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara di Parlimen, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud dalam jawapannya memberitahu, kerajaan memberi penekanan terhadap bidang kritikal negara dengan memperkasakan aliran STEM dan membuka laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar bukan STEM.
Menurutnya, tahun ini sahaja, seramai 29,819 pelajar bukan aliran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) diterima masuk ke politeknik termasuk melalui program Techno Huffaz dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menawarkan diploma bersama sijil tahfiz al-Quran.
Jelasnya, usaha itu memastikan anak-anak tahfiz dan pelajar lain turut diserap ke bidang kejuruteraan, perubatan dan teknikal demi melahirkan tenaga mahir negara.
Nik Abduh dalam soalan asal meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan sejauh mana keberkesanan penganjuran program Jom Masuk U (JMU) 2025 dalam mempromosikan program pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya dalam membantu pelajar lepasan SPM dan STPM yang tercicir dan mendapat tempat serta maklumat mengenai laluan pendidikan tinggi. – HARAKAHDAILY 2/9/2025











