
IPOH: Insiden mengejutkan seorang wanita yang mempunyai rekod rawatan psikiatri menyerang Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Ahad lalu, mengundang gesaan agar tahap keselamatan diraja dipertingkatkan.
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol menyifatkan kejadian itu sebagai amat dikesali dan menuntut siasatan segera dijalankan oleh pihak berkuasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, wanita berusia lingkungan 40-an yang berpakaian serba hitam dilaporkan nekad membolosi kawalan keselamatan dan berlari ke arah pentas utama sebelum menyentuh Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat.
Mengulas insiden tersebut, Razman yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong berkata perbuatan itu bukan sahaja satu pelanggaran keselamatan serius, tetapi juga amat menyinggung perasaan rakyat.
”Perkara ini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan dari segi keselamatan, malah menyinggung perasaan rakyat jelata yang sentiasa menjunjung tinggi institusi Kesultanan Perak sebagai lambang kedaulatan negara dan payung perpaduan negeri.
”Apa jua bentuk keganasan atau perbuatan yang tidak menghormati Raja dan institusi Diraja adalah tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menggesa agar siasatan telus dijalankan untuk mengenal pasti motif wanita terbabit, yang mana semakan polis kemudiannya mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan sedang di bawah pengawasan pakar psikiatri.
Beliau turut menekankan agar kawalan keselamatan terhadap Sultan Perak dan seluruh kerabat diraja dipertingkatkan, terutamanya dalam majlis rasmi yang melibatkan orang ramai bagi mengelak kejadian sama berulang.
”Sebarang upacara rasmi tidak boleh dicemari dengan insiden negatif, tambahan lagi dalam keadaan hari ini ia boleh menimbulkan pelbagai interpretasi serta persepsi oleh masyarakat asbab kepada keterbukaan media sosial,” ujarnya.
Razman menegaskan, pihak pembangkang negeri berdiri teguh bersama kerajaan negeri dalam mempertahankan maruah dan keselamatan institusi diraja demi keharmonian dan kestabilan Perak.
Beliau turut menyeru rakyat agar bertenang, tidak membuat sebarang spekulasi, dan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Perak. – HARAKAHDAILY 2/9/2025











