Bendera terbalik, perisik asing: Isyarat buat negara

Perlu kukuhkan patriotisme hadapi ancaman kedaulatan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketua Muslimat PAS Negeri Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menyeru rakyat agar menghayati erti kemerdekaan sebenar dengan mempertahankan jati diri, maruah agama, bangsa dan tanah air.

- Advertisement -

Katanya, kemerdekaan bukan hanya bermaksud bebas daripada penjajahan fizikal, sebaliknya turut meliputi kebebasan daripada penjajahan pemikiran, budaya dan akidah yang boleh merosakkan umat.

“Dalam Islam, cinta kepada tanah air adalah sebahagian daripada iman kerana menjaga negeri dan negara ini merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak,” ujarnya.

Beliau menegaskan, insiden yang berlaku kebelakangan ini seperti pengibaran bendera negara secara terbalik dan penangkapan perisik asing cuba mengganggu kedaulatan negara memberi isyarat jelas terhadap keperluan mengukuhkan patriotisme Islam.

“Patriotisme Islam menuntut kita menjaga maruah agama, bangsa dan tanah air agar keamanan, kesejahteraan serta keharmonian dapat terus dinikmati,” katanya lagi.

Menurut beliau, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, rakyat Malaysia perlu menolak perpecahan, memperkukuh ukhuwah serta membina generasi yang celik ilmu dan teguh imannya.

“Wanita Muslimat khususnya mempunyai peranan besar dalam mendidik keluarga dan masyarakat agar semangat cintakan negara terus mekar, seiring dengan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya,” ujarnya lagi.

Beliau seterusnya mengajak seluruh rakyat menyambut Hari Kemerdekaan dengan penuh kesyukuran serta tekad untuk terus mempertahankan kedaulatan negara. – HARAKAHDAILY 2/9/2025

- Advertisement -