Muktamar Pemuda terakhir: Perjalanan kehidupan pasti ada penghujungnya

- Advertisement -

APA ADA dengan urusan mengendalikan Muktamar Pemuda PAS Pusat sebagai Pengerusi Tetap? Urusan tidak berorientasikan keuntungan, mencuri waktu rehat serta menyita waktu ketimbang urusan lain yang lebih penting.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat bagiku adalah pesta pora tahunan sayap parti terpenting PAS untuk mempamer kegiatan anak muda yang obses dengan kerja dakwah, tarbiah serta siasah. Ianya bukan lahan atau medan untuk mempamer gaya hidup. Orang PAS tidak obses dengan urusan mempamer gaya hidup bak aristokrat atau hartawan kelas pertama. Bahkan jika ada pimpinan dengan rumah agam dan kereta mewah pastilah menjadi stok perbahasan meja kedai kopi ahli-ahli.

Acara tahunan ini, jika kepada parti konvensional maka riuh geger dengan perbalahan, polemik, perpuakan, saling berbalingan kerusi, bahkan acu senjata kerana mandraguna kuasa bagi politikus liberal pragmatis ialah sekadar urusan garisan duniawi.

Jawapan mengapa Muktamar Pemuda PAS begitu signifikan kepada para amilin sehingga menuntut kebertanggungjawaban sehingga akhirat terutama para Pemuda PAS hanya dapat dilunaskan oleh sesiapa yang bergulat dalam dunia kepemudaan gerakan Islam. Memilih pemimpin untuk sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam bukanlah semudah memetik suis kaca TV atau peranti pintar!

Menariknya mengenai Muktamar dan pemilihan PAS, segalanya dengan damai tanpa riuh rendah sehingga menimbulkan kepelikan kepada pembenci PAS. Jika mesyuarat Agung Tahunan serta muktamar tidak disibukkan dengan intriq dan polemik maka pembenci PAS menuduh PAS parti tanpa perubahan, mengekang perubahan serta tiada dinamisme kepimpinan. Mereka tidak memahami budaya serta ekosistem PAS, apabila ramai pimpinan PAS menarik diri daripada bertanding, maka mereka semakin menggila kebencian.

- Advertisement -

Hari ini seorang tokoh Pemuda yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Shukri Omar menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Dewan Pemuda walaupun mendapat pencalonan yang lumayan daripada Kawasan-kawasan. Begitu juga jawatan AJK PAS Pusat, walaupun nama-nama yang dicalonkan bukan kaleng-kaleng, bukan sekadar anggota legislatif, menggalang gelar akademik yang hebat dengan pakej kompetensi namun memberikan peluang kepada sahabat-sahabat yang lain untuk ke hadapan.

Gerakan Islam ini terus membesar, merendang, meranum dan didokongi oleh pelbagai jalur masyarakat serta menjadi pemerintah di empat buah negeri.

Muktamar PAS juga Muktamar Dewan Pemuda  PAS Pusat pula menjadi medan pertemuan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin untuk merencahi perjalanan bahtera jamaah serta wadah paling tepat untuk introspeksi kegiatan parti sepanjang satu sesi.

Saya bernostalgia mengenai kehangatan Muktamar DPP Malaysia dalam pertengahan dekad 1990-an; perwakilan di hadapan pentas bukan kaleng-kaleng orator. Kehangatan Muktamar Pemuda kadang kala terheret panas sehingga ke luar muktamar yang perlu penulis menyimpan memori peribadi ini.

Dalam ekosistem PAS yang unik ini, pemimpin yang tidak piawai tidak akan mampu duduk selesa di kerusi pimpinan, baik di zaman tanpa gajet yang serba indah juga di zaman milinea.

Panas hanya saat berhujah, selepas itu kembali dingin dengan secangkir kopi hangat! Markah untuk dipilih menjadi pemimpin Pemuda pula antara indikatornya ialah kaki demonstrasi, wejangan berapi seperti Gunung Kilimanjaro, rajin bertamrin, menghadiri undangan liqa dan berkuliah haraki selain pakej kompetensi yang lain. Yang manja dan kurang berani agak sukar ke hadapan kerana PAS perlu mendobrak kezaliman tirani. Fikrah wajib mantap kerana PAS adalah gerakan tajnid, perkaderan dakwah yang melahirkan kefahaman Islam yang jitu dan komprehensif.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat saban tahun adalah medan ukhuwah yang sangat membahagiakan. Teman-teman datang dari seluruh belahan negara, bersamping lengkap seperti ingin diakadnikah, senyum mekar menggambarkan Muktamar ialah hari besar dalam kalendar aktivis dakwah negara ini.

Gerai Muktamar DPP juga siap berjualan samping dan aksesori Muktamar yang lain termasuk buku-buku haraki untuk dihadam oleh para amilin. Tauke buku akan senyum girang usai Muktamar, rezeki umrah katanya.

Saya memerhatikan secara dekat perjalanan Muktamar Pemuda PAS Pusat semenjak di bangku sekolah iaitu pada tahun 1986 di Masjid Rusila, Marang, Terengganu. Masjid Rusila adalah antara tarikan pesona terbesar aktivis Islam dekad 1980-an; nasi dagang dan nasi minyak dengan harga bawah seringgit dan teh o dengan harga 20 sen.

Kami sekelompok remaja yang mengambil peperiksaan SRP di sebuah sekolah premier di Kuala Terengganu. Anak remaja penggemar seluar _jeans bundle_ yang beragam obsesi, antara Akira Takasaki, mendiang Cliff Burton dan Tok Guru Haji Hadi!

Masa bergulir dengan pantas, dari zaman kampus ke zaman Pemuda yang berpelangi. Merasa mewajibkan diri untuk sibuk setiap kali Muktamar menjelma kerana itulah perayaan tahunan abnaul harakah.

Mulai menjadi perwakilan pada tahun 1995 sehinggalah sekarang, melihat dinamisme perjuangan PAS, pasang surut perjuangan, juga tokoh-tokoh yang datang dan pergi.

Taman Melewar bukan lagi lokasi yang sesuai untuk himpunan tahunan ini dengan perkembangan PAS sebagai gerakan Islam paling tua, parti politik paling berdisiplin serta gerakan massa paling stabil.

Cukuplah dengan sebanjaran pengalaman dalam Dewan Wilayah Persekutuan, Pemuda PAS Pusat, menjadi Exco, Ketua Penerangan DPPP seterusnya sebagai ‘orang tua’ yang mengendalikan Muktamar tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai Pengerusi Tetap. Saya terhutang budi kepada jamaah ini yang memberikan peluang untuk mencicip pengalaman emas sepanjang lebih tiga dekad ini dengan sepuluh orang Ketua Dewan Pemuda telah bertukar ganti. Terima kasih kerana menjadikan dunia ini sebagai cantuman mozaik emas buat koleksi kehidupanku.

Baton bertukar dengan nyaman Insya-Allah dengan Ustaz Ahmad Fadli Shaari, Ahli Parlimen Pasir Mas, pula selepas ini akan mengendalikan Muktamar DPP Pusat.

Moga Allah merahmati semua teman-teman aktivis Dewan Pemuda PAS serta alumni Dewan Pemuda di semua peringkat jamaah ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 2/9/2025

- Advertisement -