
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melancarkan program E-Tuisyen Rakyat Sejahtera sebagai usaha memperluas capaian pendidikan berkualiti melalui pendekatan digital.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, program itu kesinambungan kepada kejayaan Tuisyen Rakyat Sejahtera yang bermula pada tahun 2024.
“Melalui E-Tuisyen ini, para pelajar berpeluang mengikuti kelas atas talian bersama guru-guru berpengalaman dan bertauliah,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubor Panjang.
Katanya lagi, platform tersebut dibangunkan dengan kerjasama Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd (KIGSB) dan Telekom Malaysia (TM), manakala aspek pengurusan dan laporan dikendalikan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
“Jika sebelum ini kerajaan negeri menumpukan kepada empat mata pelajaran teras, maka melalui E-Tuisyen Rakyat Sejahtera, kita melangkah lebih jauh dengan menawarkan semua mata pelajaran SPM yang diajar di sekolah,” ujarnya lagi.
Menurut beliau, bagi tahun pertama, program itu menyasarkan 1,896 pelajar Tingkatan Lima daripada 52 sekolah menengah YIK yang mempunyai capaian internet serta peranti.
Setiap pelajar akan dibekalkan pengenalan identiti khas bagi menyertai kelas mengikut topik, selain akses kepada rakaman pengajaran dan bahan latihan secara atas talian.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM15,000 bagi setiap DUN tahun ini bagi menjayakan Tuisyen Rakyat Sejahtera, melibatkan 2,700 pelajar di seluruh Kelantan dengan jumlah keseluruhan RM675,000.
“Manakala bagi program E-Tuisyen Rakyat Sejahtera, sejumlah RM97,200 diperuntukkan untuk memberi akses pembelajaran digital kepada 1,896 orang pelajar,” katanya lagi.
Tambahnya, usaha tersebut adalah sebahagian daripada jihad pendidikan kerajaan negeri untuk memastikan generasi muda bukan sahaja cemerlang akademik, malah berakhlak mulia dan memiliki jati diri Muslim yang sejati. – HARAKAHDAILY 2/9/2025











