
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengalu-alukan inisiatif Sarawak untuk meningkatkan pengeluaran padi, sambil menyifatkannya sebagai langkah positif yang akan melengkapkan bekalan beras negara, bukannya bersaing dengan Kedah.
Beliau berkata, usaha Sarawak itu wajar disokong kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import dan memperkukuh keterjaminan makanan.
“Saya rasa Sarawak tak perlu menggantikan tetapi melengkapkan, sebab pengeluaran Kedah tak cukup untuk negara ini,” jelasnya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah 2025, di sini Khamis lalu.
Menurut beliau, sekiranya Sarawak berjaya meningkatkan pengeluaran, ia akan memberi manfaat kepada keseluruhan negara kerana tidak perlu lagi mengimport beras, sebaliknya boleh guna tanah untuk perkara lain juga.
Dalam majlis yang sama turut diadakan penyampaian anugerah kepada 16 usahawan Industri Asas Tani (IAT).
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; barisan Ahli Mesyuarat Negeri Kedah serta ADUN Negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 2/9/2025











