
KUALA TERENGGANU: Seramai 133 penerima asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar menerima manfaat agihan zakat wakalah berjumlah RM20,000 yang disalurkan TDM Berhad melalui program TDM Bersama Masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed menzahirkan penghargaan kepada TDM kerana memilih DUN Bandar sebagai lokasi pelaksanaan program tersebut.
Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja membantu meringankan beban masyarakat, malah memperkukuh hubungan antara sektor korporat dan komuniti setempat.
“Sumbangan yang diberikan hari ini bukan sahaja meringankan beban golongan asnaf, tetapi turut menyuburkan nilai keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat kita.
“Semoga usaha murni ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk terus menyantuni mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penyerahan sumbangan, di sini Rabu lalu.
Program itu turut diserikan dengan tazkirah Dhuha bersama komuniti setempat sebagai usaha mengeratkan hubungan dan ukhwah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin pula berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan berimpak tinggi syarikat dalam membudayakan nilai tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Program TDM Bersama Masyarakat merupakan sebahagian daripada aspirasi syarikat untuk memberikan impak positif kepada komuniti, khususnya di Terengganu.
“Matlamat utama program ini adalah untuk berkongsi rezeki, membantu golongan memerlukan dan mewujudkan kesejahteraan sosial secara menyeluruh.
“Program TDM Bersama Masyarakat telah berkembang menjadi wadah memperkukuh hubungan sosial, memperluas jaringan kerjasama serta menyemai nilai empati dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, TDM percaya pendekatan yang konsisten akan memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti, khususnya di kawasan operasi syarikat itu.
“Sekalung penghargaan kepada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bandar, yang menjadi penghubung antara TDM dan komuniti setempat bagi menjayakan program ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2025











