
KIYAI ZAINUDDIN MZ dari Indonesia pernah berpesan dahulu yang lebih kurang begini:
“Di waktu kamu memilih pemimpin yang membayar kamu untuk memilih dia sebagai wakil, nanti di saat dia memegang jawatan itu, perkara pertama yang akan pemimpin itu lakukan ialah mengambil semula modal yang dibayar kepada kamu untuk mengundi mereka semasa berkempen”.
Takziah kepada mangsa langgar di Indonesia. Apa yang berlaku di sana ialah sesuatu yang tidak dijangka sedang seluruh negara mereka masih bergembira menyambut Hari Kemerdekaan mereka. Kesilapan pemimpin yang tidak tahu menjaga sensitiviti rakyat yang sedang tertekan dengan kehidupan, tidak seharusnya ayat menghina datang dari mulut pemimpin rakyat.
Kata Ustaz Adi Hidayat, walaupun mereka adalah wakil rakyat, tetapi kami tidak pernah mewakilkan mereka untuk melakukan perkara-perkara yang melanggar peraturan dan juga hal berkaitan menyusahkan rakyat.
Tidaklah menjadi kesalahan jika mahu menaikkan elaun atau apa-apa yang difikirkan perlu dan sesuai pada keadaan kerana yang mungkin kita terlepas pandang ialah terkadang sikap rakyat yang sering meminta-minta dari wakil rakyat, menyebabkan mereka terpaksa mencari sumber lain (terutama pembangkang jika kes di Malaysia) bagi menghulurkannya kepada rakyat.
Namun membalas dengan kenyataan yang menghina rakyat, adalah sesuatu yang sangat jelek oleh seorang pemimpin di kala rakyat hidup susah. Masih ingatkah seorang Gus yang menghina penjual air di suatu majlis kuliah agama. Kebalikannya yang terhina teruk ialah Gus itu dan yang dimuliakan orang, penjual air itu. Allah menurunkan taraf kemuliaan Gus dengan mudah sekali.
Dalam DPR Indonesia, ramai bekas artis yang menjadi anggotanya. Sehingga ada pertanyaan apa yang Kris Dayanti lakukan sepanjang menjadi anggota DPR? Sama keadaan seperti India dan juga Filipina. Kita bukan menghina artis, kerana artis seperti Desi Ratnasari mempunyai dua ijazah Master dan terkini lulus ijazah kedoktoran. Tetapi yang kita mahu maklumkan, pemikiran rakyat yang sering dimomokkan dengan kehidupan artis itu mempengaruhi pilihan rakyat.
Kemasyhuran mereka di layar perak, menjadi tiket utama bagi rakyat memilih mereka sebagai wakil bukan kepintaran mereka untuk menyelesaikan masalah rakyat. Dan kesan akhirnya sangat mengecewakan. Lihat sejarah Presiden Joseph Estrada atau Erap, bekas hero kegilaan penonton dalam industri filem di Filipina. Akhirnya dia dijatuhkan hukuman kerana rasuah.
Sama juga Amitabh Bachan dan Rajesh Khanna dari Bollywood. Keduanya nama yang gah dalam lakonan. Tetapi rakyat India yang cerdik, sinis kepada mereka, kerana dalam filem ada skrip, boleh dihafal dialognya. Namun dalam Parlimen baru nampak kebijakan diri mereka sebenar tanpa skrip sama ada soalan atau jawapan yang merapu. Sindiran P. Ramlee mengena, salah pangkah dapat tahi.
Jadi kita tidak hairan melihat anggota DPR Indonesia sama ada yang sudah bertaraf datuk, nenek, isteri atau suami orang berjoget dalam Parlimen kerana 25 di antara anggota itu artis dan negara mereka begitu sukakan hiburan, sehinggakan kita selalu mengimport sinetron mereka.
Walaupun begitu video berjoget itu sebenarnya bukan kerana mereka meraikan kenaikan elaun mereka, tetapi konsert sambutan kemerdekaan Indonesia yang dibuat dalam DPR beberapa hari lalu yang kemudiannya diedit untuk menimbulkan suasana tegang.
Dan kita di Malaysia, kita masih bersyukur walaupun pimpinan kita, ada yang kita benci dan marah, tetapi kita masih mempunyai nilai toleransi yang tinggi (kecuali jika PH yang mengamuk, mereka berkemungkinan menjadi ganas). Kita tidak sampai tahap memecah rumah dan mencuri walaupun marah.
Dan kita kekal menjaga supaya negara ini tidak menjadi kucar kacir. Kita pastikan mereka dikalahkan dalam PRU, medan sebenar perlawanan kita. Bukan memusnahkan apa-apa sama ada harta awam atau harta persendirian.
Kita juga patut bersyukur kerana kita mempunyai hanya seorang menteri dari kalangan artis yang terkenal dengan filem Gol Dan Gincu. Akan tetapi terkadang beliau dilihat masih mengasah bakat lakonannya dalam pentadbiran seperti pura-pura terkejut menjawab panggilan, mengugut rakyat dengan radio car dan janji tidak mahu mengambil gaji.
Bersyukur juga kita mempunyai Perdana Menteri yang bukan artis yang sebenar, tetapi beliau perasan macam artis, masih suka menyanyi walaupun bersuara ada unsur ke’katak’kan. Bayangkan jika beliau memang artis sebenar dan menjadi Presiden Indonesia berganding dengan anggota DPR yang suka berjoget itu. Waduh gawat dong…
Selamat menyambut Hari Kebangsaan.
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 2/9/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











