Semangat Merdeka eratkan perpaduan kalangan rakyat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru rakyat agar menghayati erti kemerdekaan dengan memperkukuh semangat perpaduan dan kasih sayang sesama masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

- Advertisement -

Beliau berkata, kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada kuasa asing, sebaliknya bebas daripada rasa curiga antara kaum serta mampu bersama-sama membina masa depan yang lebih baik.

“Hari ini kita berdiri di bawah satu bendera, jalur gemilang, sebagai rakyat Malaysia yang merdeka.

“Detik ini bukan sekadar mengingatkan kita kepada pengorbanan datuk dan nenek kita, daripada pelbagai kaum, agama dan budaya yang bersatu hati untuk membebaskan tanah air ini daripada belenggu penjajahan.

“Merdeka juga bermakna kita bebas daripada sempadan yang memisahkan kaum dan bebas untuk bermimpi tentang masa depan yang lebih baik,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan, kelmarin.

Menurutnya, realiti kehidupan pada masa kini yang memperlihatkan anak-anak Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli dan lain-lain belajar serta bekerja bersama merupakan lambang sebenar kemerdekaan.

“Inilah erti sebenar kemerdekaan, apabila kepelbagaian kita menjadi kekuatan, bukan perpecahan,” ujarnya.

Beliau turut mengajak rakyat untuk terus berpegang pada nilai perpaduan, saling berkenalan, berkasih sayang dan menghormati antara satu sama lain.

“Kita mungkin datang daripada latar belakang yang berbeza, tetapi kita berkongsi satu tanah air, satu bendera, dan satu destinasi masa depan.

“Selamat Hari Merdeka dan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan, Malaysia Tanah Air Tercinta,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2025

- Advertisement -