Hari Kebangsaan: Tindakan pinggir ADUN PN dikecam

- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang mengecam tindakan Kerajaan Negeri yang menarik balik jemputan rasmi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) untuk menghadiri Majlis Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat Daerah Jerantut.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, walaupun jemputan itu akhirnya dikembalikan selepas mendapat kecaman, tindakan awal kerajaan negeri jelas menindas secara tanpa sedar hak wakil rakyat yang dipilih secara sah.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini memperlihatkan wajah sebenar politik sempit dan dangkal yang diamalkan oleh Umno dan Pakatan Harapan (PH) di Pahang.

“Sambutan Hari Kebangsaan adalah milik seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik, bukannya milik eksklusif kerajaan yang memerintah.

“Menghalang wakil rakyat sah daripada bersama rakyat pada hari penuh bersejarah ini adalah satu penghinaan terhadap demokrasi dan suara rakyat yang memilih mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Ahmad Azlan berkata, langkah itu turut mencerminkan kegusaran Umno dan PH terhadap pengaruh PN yang semakin diterima rakyat Pahang.

“Sikap angkuh dan kebobrokan seperti ini membuktikan Umno dan PH semakin terdesak dan diambang kejatuhan, takut dengan pengaruh Perikatan Nasional yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Pahang.

“Pemuda PAS Pahang yakin, tindakan tidak matang ini hanya akan mempercepatkan lagi kejatuhan Umno dan PH di Pahang. Percayalah, pada PRU-16 nanti Umno dan PH akan tumbang di Pahang.

“Rakyat akan bangkit bersama PAS dan Perikatan Nasional untuk mengambil alih Teraju Pahang, demi membina negeri yang lebih bermaruah, adil, dan sejahtera,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat menilai sikap kerajaan negeri yang disifatkan sebagai menutup ruang perpaduan dan lebih mementingkan kuasa berbanding kepentingan rakyat.

“Dewan Pemuda PAS Pahang menyeru seluruh rakyat untuk menilai sendiri wajah sebenar kerajaan yang ada hari ini, sebuah kerajaan yang menutup ruang perpaduan, membelakangi adab dan hanya mementingkan kuasa semata-mata.

“Pemuda PAS Pahang dengan penuh tekad menyeru seluruh rakyat Pahang untuk memberi sokongan yang jitu kepada PAS dan Perikatan Nasional.

“Insya-Allah kami akan memastikan yang rakyat Pahang tanpa mengira ideologi politik mendapat manfaat yang baik jika PAS dan Perikatan Nasional menerajui kerajaan negeri Pahang selepas PRU16 kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2025

- Advertisement -