Badan kemanusiaan global: Malaysia perlu teraju inisiatif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  Gaza adalah model yang menjadi perhatian seluruh dunia apabila terbukti kuasa besar tidak mampu dibendung, manakala Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hanya berkesan terhadap negara kecil.

Senator Hussin Ismail berkata, apapun keputusan oleh PBB mahupun Majlis Keselamatan hanya terpaksa dipandang tanpa tindakan yang berkesan.

“Soalan saya ialah, di Geneva PBB menyenaraikan 45 negara yang sehingga hari ini adalah lokasi perang yang tak berhenti terutama sekali Timur Tengah, Afrika Utara, Afrika Tengah dan lain-lain.

“Bagaimana kalau kita boleh melihat satu pendekatan dalam cara paling-paling ikonik di Malaysia ini kalau ada tidak ruang untuk kita memperkasakan dari sudut ruang rundingan itu supaya Malaysia negeri kecil Malaysia bukan negeri tentera.

“Kalau dalam negara kita, negeri kita ini kancil yang kecil, kuasa terbesarnya kuasa rundingan walaupun terpaksa berlawan dengan singa, buaya dan lain-lain,” ujarnya

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pertahanan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, sepertimana Switzerland, namanya tidak besar tetapi Geneva nama besar kerana negerinya tidak terlibat dalam perang tetapi kuasa rundingan Geneva itu meletakkannya di posisi sangat dihormati di dunia.

“Saya ingin juga tanya satu lagi, di samping untuk memperkasakan kuasa rundingan kalau boleh dilihat pada sudut ini ialah dari segi ‘humanitarian’. ‘Humanitarian’ ini terkait sikit dengan Menteri Luar.

“Sekarang ini perang berlaku, perang dunia ketiga bakal menjelma, dikatakan. Harap tidak berlaku tetapi Menteri, sudah adakah suatu badan seperti ‘World Humanitarian Forum’ misalnya.

“Kita nak hantar yang global flotilla yang sekarang sedang bergerak ke Gaza tetapi mereka akan berdepan dengan satu bencana yang tak ada perlindungan.

“Nak harap kuasa besar, memang kuasa besar pun dalam PBB yang menyekat segala urusan ini. Ada tidak ruang untuk kita mungkin ini tak terkait dengan menteri ini.

“(Ia) mungkin ada kaitan dengan Menteri Luar untuk kita menaja satu organisasi misalnya ‘World Humanitarian Forum’ untuk mendepani isu perang yang melata meluas yang sangat menakutkan ini,” soalnya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dalam jawapannya memberitahu, Malaysia berpotensi menjuarai diplomasi pertahanan dengan rekod baik dalam mengekalkan keamanan, termasuk peranan antara Thailand dan Kemboja.

Menurutnya, pusat latihan keamanan negara diiktiraf PBB dan melatih anggota di peringkat ASEAN serta antarabangsa.

Jelasnya, keyakinan dunia terhadap Malaysia boleh membuka ruang lebih besar, termasuk memainkan peranan di Gaza dan Palestin.

- Advertisement -

Hussin dalam soalan asal meminta Menteri Pertahanan menyatakan usaha dan cabaran yang dihadapi Kerajaan bagi menggesa penghantaran Pasukan Pengaman PBB ke dalam wilayah Palestin yang dijajah khususnya Gaza agar genosid yang berlaku dapat dihentikan. – HARAKAHDAILY 2/9/2025

- Advertisement -