
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Balasubramaniam Nachiappan menegaskan masyarakat Cina dan India pada hari ini sudah jauh lebih matang dan jelas mengenali PAS serta kepimpinan parti itu.
“Mereka tidak lagi terpengaruh dengan momokan pihak tertentu yang cuba menakut-nakutkan rakyat dengan label yang tidak tepat,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, berhubung tawaran PAS kepada MCA dan MIC.
Ti Lian Ker dilaporkan media tempatan berkata, masyarakat Cina dan India masih belum dapat menerima PAS selagi parti itu tidak berubah daripada konservatif kepada lebih terbuka.
Walau bagaimanapun Balasubramaniam berkata, DHPP sendiri membuktikan telah menerima sokongan yang semakin meningkat daripada masyarakat India dan Cina di seluruh negara.
Jelasnya, sokongan itu lahir kerana mereka menilai PAS berdasarkan integriti dan rekod bersih kepimpinan parti.
“Hingga kini, tiada seorang pun pemimpin utama PAS yang dituduh atau ditangkap atas kesalahan rasuah.
“Malah, Ahli Parlimen PAS juga tidak pernah melompat parti semata-mata untuk mengejar jawatan atau kepentingan peribadi,” kupasnya.
Beliau berkata, itulah antara faktor utama mengapa masyarakat Cina dan India memilih untuk bersama serta menyokong PAS kerana mereka melihat kejujuran, keteguhan prinsip serta istiqamah PAS dalam memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Bagi masyarakat India dan Cina, PAS menawarkan keyakinan bahawa politik boleh dijalankan dengan nilai amanah, keadilan sosial serta kepedulian terhadap kebajikan sejagat.
“Mereka melihat PAS bukan hanya bercakap soal agama, tetapi juga komited membina sebuah negara yang bersih daripada korupsi, stabil dan sejahtera untuk semua,” tegasnya.
Menurutnya, persepsi lama yang cuba dimainkan bahawa masyarakat bukan Islam masih menolak PAS tidak lagi tepat dengan realiti semasa.
Menurutnya, hari ini ramai masyarakat Cina dan India sudah menerima PAS kerana integriti, kestabilan politik dan kepimpinan yang konsisten memperjuangkan nasib rakyat.
“DHPP percaya, dengan kerjasama yang baik melalui Perikatan Nasional, PAS akan terus menjadi wadah penyatuan dan pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia yang mendambakan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan berintegriti,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2025











