
BACHOK: Datuk Kamarudin Md Nor berkata kerajaan negeri memberi tumpuan mempromosikan Bachok sebagai bandar pelancongan Islam dalam usaha menarik lebih ramai pelancong luar negara ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri itu berkata strategi tersebut akan menjadi fokus utama tahun ini dan tahun hadapan bagi memperkukuh sektor pelancongan negeri.
“Bachok sudah kita nobatkan sebagai bandar pelancongan Islam. Kita mahu pengunjung luar negara kembali datang dan merasai sendiri pengalaman unik yang ditawarkan di sini,” katanya ketika merasmikan Pesta Mukkat di Pantai Impian Kemasin, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata sambutan terhadap aktiviti pelancongan berbentuk pengalaman secara langsung lebih digemari pelancong masa kini berbanding hanya bergambar seperti dahulu.
“Pelancong sekarang bukan sekadar mahu tengok dan ambil gambar. Mereka mahu ‘experience’, mahu rasa sendiri aktiviti yang ada dalam acara seperti memukat ini, kita beri peluang mereka terjun ke laut dengan jaminan keselamatan agar mereka lebih menghargai kehidupan nelayan,” ujarnya.
Kamarudin turut menzahirkan penghargaan kepada nelayan yang menjadi tulang belakang kepada sumber protein negara dan menekankan kepentingan menghargai hasil tangkapan mereka.
“Bila kita ke pasar janganlah terlalu banyak tawar-menawar, kerana tangkapan ikan ini datang daripada kerja keras yang penuh risiko dan acara seperti ini mengingatkan kita betapa besarnya pengorbanan nelayan,” jelasnya.
Beliau juga berkata, Pesta Mukkat di Bachok bukan sahaja menghidupkan tradisi lama nelayan tetapi mampu dijadikan produk pelancongan yang unik.
“Menangkap ikan melalui kaedah memukat secara beramai-ramai ini sudah jarang dilakukan oleh nelayan di Malaysia dan saya difahamkan hanya di Kelantan dan Terengganu sahaja ia masih wujud.
“Justeru ia boleh dipasarkan sebagai tarikan pelancong kerana memberi pengalaman berbeza berbanding aktiviti pelancongan lain,” tambahnya lagi.
Kamarudin turut menegaskan kerjasama yang erat antara kerajaan negeri, majlis daerah dan masyarakat setempat menjadi kunci kepada kejayaan promosi pelancongan di negeri ini.
“Alhamdulillah, semua majlis daerah di Kelantan telah memberi kerjasama yang sangat baik dengan menganjurkan pelbagai kegiatan pelancongan yang boleh menarik pengunjung ke daerah masing-masing.
“Kerjasama ini memberi impak besar kepada usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, Bachok mempunyai aset pelancongan unik kerana pantainya yang panjang dan landai sesuai dijadikan lokasi rekreasi keluarga dan tarikan pelancong.
Pantai Impian Kemasin yang menjadi lokasi Pesta Mukkat kali ini katanya, bakal diperkembangkan sebagai antara destinasi pelancongan utama di daerah itu.
“Selain mendapat sambutan baik daripada masyarakat, program ini turut disokong oleh Persatuan Nelayan Bachok yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan penganjuran.
“Ini bukti bahawa pelancongan hanya akan berjaya jika semua pihak berganding bahu,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 18/8/2025












