
BACHOK: Pesta Mukkat Pantai bukan sahaja mempamerkan cara tradisional nelayan menangkap ikan, malah dijadikan sebagai produk pelancongan baharu yang berpotensi menarik kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pengalaman menyertai aktiviti menangkap ikan di pantai mampu menjadi tarikan unik kepada pelancong.
“Yang lebih penting, ia kita angkat sebagai produk pelancongan. Harapnya acara ini dapat kita publisiti dengan lebih meluas, supaya apabila diumumkan tarikhnya pada tahun akan datang, pelancong dari luar turut hadir dan mengambil bahagian,” katanya pada sidang media sempena Pesta Mukkat Pantai, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, pencapaian pelancongan Kelantan tahun lalu menunjukkan 10.54 juta pelancong domestik hadir, manakala jumlah pelancong asing masih rendah dengan hanya 595 orang melalui tiga pintu masuk utama iaitu Rantau Panjang, Bukit Bunga dan ICQS Pengkalan Kubor.
“Kemasukan dari luar negara masih kecil. Fokus kita tahun lalu adalah pelancong domestik dan Alhamdulillah sambutannya sangat baik. Tetapi tahun ini tumpuan lebih kita berikan kepada pasaran luar,” ujarnya.
Menurut Kamarudin, kerajaan negeri telah mula melaksanakan promosi pelancongan di peringkat antarabangsa dengan menyertai pelbagai ekspo serta mengadakan pertemuan bersama ejen pelancongan dengan negara sasaran utama ialah China dan Jepun.
“China merupakan pasaran yang besar. Dari Guangzhou sahaja ada lima penerbangan setiap hari ke Kuala Lumpur, tetapi kebanyakan pelancong hanya singgah di ibu negara. Kita mahu sebahagian daripada mereka datang ke Kelantan.
“Saya juga baru pulang dari Jepun dan melihat pasaran di sana berpotensi. Jepun ada program khas kerajaan yang menghantar warga emas ke negara panas ketika musim sejuk. Selama ini mereka banyak ke Australia, jadi kita mahu bawa mereka ke Kelantan,” katanya lagi.
Beliau menambah, pakej pelancongan negeri ini akan dirangka dengan konsep ‘healing’, santai dan berasaskan budaya tradisional supaya lebih sesuai dengan kehendak pelancong asing.
“Apabila mereka datang, kita isikan masa dengan aktiviti kebudayaan dan warisan. Ia bukan sahaja memberi pengalaman baharu, bahkan secara langsung memperkenalkan budaya kita ke mata dunia,” katanya.
Sementara itu, Pesta Mukkat Pantai kali ini disertai 21 pasukan melibatkan lebih 180 peserta dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkaitan.
Menurut Kamarudin, lebih utama daripada nilai hadiah ialah penyertaan masyarakat awam kerana ia menjadikan pesta tersebut sebagai pengalaman berharga yang tidak dapat diperoleh di tempat lain.
“Nelayan memang sudah terbiasa dengan aktiviti ini, tetapi kita mahu orang awam turut serta dan merasai sendiri pengalaman tersebut. Inilah produk pelancongan yang kita tonjolkan,” katanya.
Beliau yakin dengan promosi yang lebih giat di luar negara, Kelantan mampu menarik lebih ramai pelancong asing sekali gus meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negeri. – HARAKAHDAILY 18/8/2025











