Permohonan Lesen Sampan Khas Nelayan dibuka

Azman (baju kuning) mengetuai mesyuarat penyelarasan bersama Jabatan Perikanan Terengganu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK)
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu membuka permohonan baharu Lesen Sampan Khas Nelayan 2025 bagi memastikan hanya nelayan tulen sepenuh masa menerima manfaat lesen tersebut.

- Advertisement -

Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai hasil mesyuarat penyelarasan bersama Jabatan Perikanan Terengganu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) pada Ahad.

“Pada tahun 2021 dan 2022 kerajaan negeri telah berjaya mendapatkan Lesen Sampan Khas untuk Nelayan Terengganu sebanyak 600 lesen. Menyedari masih ada lagi nelayan tulen yang belum memiliki berlesen, maka mesyuarat penyelarasan telah diadakan.

“Kami telah memutuskan untuk mengangkat permohonan baru Lesen Sampan Khas Nelayan bagi tahun 2025,” katanya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri itu.

Beliau berkata, antara syarat utama ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, bekerja sepenuh masa sebagai nelayan, memiliki sampan berukuran tidak melebihi 15 meter serta sihat tubuh badan.

Calon juga perlu hadir dan lulus temu duga, selain tidak pernah memiliki lesen sebelum ini, manakala bagi pesara kerajaan, hanya mereka dalam kelompok B40 dibenarkan memohon.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, calon layak diminta segera berhubung dengan PNK masing-masing, Pejabat Perikanan Daerah atau Pejabat Perikanan Negeri Terengganu dalam tempoh dua minggu bermula 17 Ogos.

Pada masa sama katanya, kerajaan negeri turut melaksanakan operasi pemutihan bagi membatalkan lesen nelayan tidak aktif dan lesen tamat tempoh.

“Operasi pemutihan lesen bagi nelayan yang tidak aktif dan lesen yang tamat tempoh juga sedang dibuat dengan sasaran agar Lesen Sampan Khas ini hanya berada di tangan nelayan tulen sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/8/2025

- Advertisement -