Golongan muda perlu terus semarak patriotisme

- Advertisement -

KANGAR: Rus’sele Eizan menyeru rakyat negeri ini, khususnya golongan muda, untuk terus menyemarakkan semangat patriotisme dengan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi juga menjadi pencetus idea kreatif, inovasi teknologi dan penggerak komuniti.

- Advertisement -

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perlis 2025 yang diadakan di Denai Larian Pengkalan Asam, di sini kelmarin.

“Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, malah ia bermakna kebebasan minda, jiwa dan budaya daripada pengaruh yang boleh merosakkan identiti bangsa. Inilah masa untuk kita membina jati diri yang kukuh serta menzahirkan cinta pada tanah air melalui tindakan.

“Kita di Perlis juga tidak harus lupa kepada jasa tokoh-tokoh pejuang tempatan seperti Datuk Wan Ahmad Wan Daud yang merupakan tokoh Islah Kaum Muda,Perlis, Sheikh Ahmad Mohd Hashim yang memimpin Persatuan Melayu Perlis.

“Yang mana mereka telah berjuang dalam menuntut kemerdekaan demi masa depan rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau turut mengimbau sejarah sambutan kemerdekaan di negeri ini pada 31 Ogos 1957 apabila bendera Union Jack diturunkan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan di Bangunan Jam Besar, Kangar.

“Mereka juga telah menaik dan mengibarkan bendera Persekutuan Tanah Melayu,” ujar beliau.

Perisytiharan kemerdekaan pada ketika itu dibacakan oleh Allahyarham Cikgu Osman Abdullah, manakala doa disampaikan oleh Dato’ Setia Bakti Ustaz Nordin Ismail, sekali gus menjadi detik bersejarah bagi rakyat Perlis menyambut erti kebebasan.

“Justeru itu, pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang ini adalah kebersamaan kita dalam menyemarakkan semangat cintakan negara.

“Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain, ia adalah lambang kedaulatan, maruah, dan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia,” tegasnya.

Selaras dengan pengumuman peringkat kebangsaan, tema sambutan tahun ini adalah “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”, manakala Perlis mengangkat tema “Malaysia Madani: Perlis Bestari, Rakyat Disantuni” sebagai cerminan aspirasi negeri dalam membina kesejahteraan rakyat.

“Dalam memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian, beberapa acara utama telah disusun untuk menyemarakkan semangat jiwa merdeka di peringkat kebangsaan iaitu sambutan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025, Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2025 dan Sambutan Hari Malaysia 2025.

“Sambutan-sambutan seumpama ini telah menjadi acara tahunan utama negara kita yang disambut saban tahun. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua!” kata beliau bersemangat.

Beliau menekankan bahawa semangat merdeka juga membawa tanggungjawab untuk membina masa depan ekonomi negeri melalui sektor pelancongan, pertanian moden dan perusahaan kecil sederhana (PKS) yang mampu membuka peluang pekerjaan untuk rakyat.

Majlis pelancaran turut menyaksikan simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada jabatan negeri dan Persekutuan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institut pengajian tinggi (IPT), badan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai agensi.

Sebanyak 57 konvoi kenderaan diketuai tiga Exco Kerajaan Negeri bergerak mengagihkan Jalur Gemilang ke seluruh pusat khidmat parlimen di Perlis, sebelum berakhir di Dewan Seri Melati, Beseri sebagai simbolik penyerahan terakhir.

Mengakhiri ucapannya, Rus’sele menyeru seluruh rakyat Perlis agar menjadikan kempen ini sebagai wadah memperkukuh perpaduan dan semangat cintakan negara.

“Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain. Ia adalah lambang kedaulatan, maruah dan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia. Mari kita kibarkan dengan penuh bangga, bukan sahaja pada bulan ini, tetapi sepanjang masa,” ujarnya.

Majlis yang bermula seawal jam 7.00 pagi itu dengan acara senam aerobik, turut dihadiri bekas Menteri Besar Perlis merangkap Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, pimpinan kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan serta pelbagai lapisan masyarakat. – HARAKAHDAILY 18/8/2025

- Advertisement -