
Soalan:
Adakah benar kata setengah orang bahawa orang Yahudi yang ada sekarang ini asalnya daripada kera kerana ada disebut tentangnya di dalam Quran? Mohon penjelasan.
Jawapan:
Yang sebenarnya bukanlah kaum Yahudi yang masih hidup sekarang ini berasal daripada kera tetapi satu golongan daripada orang Yahudi pada zaman dahulu telah dilaknat oleh Allah bertukar menjadi kera.
Di dalam Al-Quran Allah telah menceritakan kisah ini dengan firman-Nya:
وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ الَّذِينَ اعْتَدَوْا مِنكُمْ فِي السَّبْتِ فَقُلْنَا لَهُمْ كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ
Ertinya: “Dan sungguhnya kamu (wahai orang-orang Yahudi) telah mengetahui akan golongan yang melampau dari kalangan kamu pada larangan hari sabtu. Maka Kami telah menghukum bagi mereka jadilah kamu sekalian kera yang hina sekalian kamu.” (Al-Baqarah: 65)
Dalam ayat ini Allah memperingatkan akan kaum Yahudi akan kisah satu golongan dari nenek moyang mereka dulu yang telah melanggar perintah Allah hingga Allah telah menurunkan azabnya dengan menukar kejadian mereka daripada manusia menjadi kera.
Golongan yahudi yang bertukar menjadi kera ini tidak panjang usianya dan mereka dimatikan oleh Allah semuanya.
Berkata Syeikh At-Tantawi:
وجمهور المفسرين على أنهم مسخوا على الحقيقة ثم ماتوا بعد ذلك بوقت قصير
Ertinya: “Jumhur ulamak tafsir berjalan atas bahawasanya golongan Yahudi yang derhaka ini telah ditukar menjadi kera yang sebenar kemudian mati semua mereka selepas kejadian itu dalam waktu yang singkat.” (Kitab Tafsir Al-Wasith)
Orang Yahudi yang ada sekarang ialah daripada keturunan yang selain dari yang bertukar menjadi kera itu dan golongan yang menjadi kera itu tidak sempat berketurunan kerana dimatikan semuanya.
Berkata Imam Ibnu Kathir:
عن ابن عباس ، قال : إنما كان الذين اعتدوا في السبت فجعلوا قردة فواقا ثم
هلكوا . ما كان للمسخ نسل
Ertinya: “Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. kata beliau: Hanya sungguhnya adalah orang-orang Yahudi yang melanggar larangan hari Sabtu itu telah dijadikan kera dalam keadaan mabuk kemudian mati sekalian mereka itu. Dan tiada mereka itu berketurunan.” (Kitab Tafsir Ibnu Kathir)
Berkata Imam Al-Baghawi:
قال قتادة: “صار الشبان قردة والشيوخ خنازير فمكثوا ثلاثة أيام ثم هلكوا
ولم يمكث مسخ ثلاثة أيام ولم يتوالدوا
Ertinya: “Telah berkata Qatadah: Orang-orang muda (dari golongan yang kena laknat ini) menjadi kera manakala orang-orang tuanya menjadi babi kemudian mereka sempat hidup selama tiga hari sahaja kemudian dibinasakan kesemua mereka dan tiada hidup yang bertukar rupa itu hanyalah tiga hari dan tiada mereka meninggalkan keturunan.” (Kitab Ma’alim At-Tanzil)
Dan begitu juga bukanlah kera yang ada di zaman sekarang ini berasal daripada orang Yahudi kerana sebelum dari kejadian ini sudah ada kera.
Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
وَإِنَّ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيْرَ كَانُوْا قَبْلَ ذَالِكْ
Ertinya: “Dan sungguhnya kera dan babi itu telah wujud sebelum yang demikian itu (yakni sebelum kejadian golongan Yahudi yang bertukar rupa itu).” (Hadis riwayat Muslim)
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 30/8/2025











