Lapangkan hatimu, insya-Allah kamu akan bahagia

- Advertisement -

ABDULLAH Mas’ud RA berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah apa-apa masalah atau kesedihan menimpa seseorang, lalu orang itu membaca: “Ya Allah, sesungguhnya aku hamba Mu, anak kepada hamba Mu, anak kepada hamba perempuan Mu, ubun-ubun ku di Tangan Mu, telah berlalunya keputusan Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan Mu,

aku memohon kepada Mu dengan setiap nama Mu yang Engkau berikan pada diri Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib Mu,

(aku memohon kepada Mu) untuk menjadikan al-Quran sebagai kegembiraan di hati ku, cahaya di dada ku, penghilang kesedihan ku, penghapus kerisauan ku”

Melainkan pasti Allah akan menghapuskan kesusahan dan kesedihannya, dan menjadikan untuknya jalan keluar (jika seseorang membaca doa di atas). Abdullah bin Mas’ud RA bertanya: Ya Rasulullah, perlukah aku mempelajari doa ini? Baginda SAW menjawab: Sudah pasti, sesiapa yang mendengarnya perlu mempelajarinya. [Musnad Ahmad, Musnad Abdullah bin Mas’ud, hadis no: 3712. Shaikh al-Albani mensahihkannya di dalam al-Silsilah al-Sahihah: 199]

- Advertisement -

Kupasannya:

Apakah maksud الهم dan الحزن ?
الهم – Kerisauan dengan apa yang bakal berlaku.

الحزن – Kesedihan dengan apa yang telah berlaku.

“Sesungguhnya aku hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu.”

Ini membuktikan sifat tunduk dan tawadhu’ kepada Allah SWT, dan pengakuan sikap penghambaan kepada Allah SWT.

Tidak sekadar menyebutkan “Aku hamba-Mu” Lafaz “anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu” menguatkan lagi pengakuan penghambaan dan ketundukan kita kepada Allah SWT.

“Ubun-ubunku di Tangan-Mu.”

Ia kiasan menunjukkan takdir-Nya telah berjalan ke atas diriku, dan diriku di bawah kekuasaan-Mu.

“telah berlalunya keputusan-Mu.”

Takdir-Mu telah berjalan.

“Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan-Mu.”

Semua yang Engkau putuskan adalah adil kerana keadilan merupakan sifat-Mu, dan zalim, mustahil ada pada-Mu. Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Selepas pengakuan diri sebagai seorang hamba, dan ketundukan menerima takdir Allah SWT, barulah kita meminta kepada Allah SWT. Ini merupakan antara adab-adab dalam berdoa. Cara begini lebih mendekatkan doa kita untuk diterima, apatah lagi kita meminta kepada yang Maha Pemurah. Apabila hamba-Nya merendahkan diri kepada-Nya, dan menzahirkan ketundukan dan khusyu’, lalu memohon daripada-Nya. Allah SWT akan memenuhi permintaan itu pada waktu dalam bentuk yang sesuai dengan kemurahan-Nya.

“Dengan setiap nama.”

Iaitu dengan hak setiap nama.

“Nama-Mu yang Engkau berikan pada diri-Mu”

Untuk mengeluarkan nama-nama selain Allah daripada sumpah dalam doa ini. Ini kerana sumpah dengan selain nama Allah tidak boleh.

“Yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu”

Iaitu nama-nama-Mu yang telah Engkau ajarkan kepada para nabi dan malaikat.

“Yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu”
Iaitu nama-nama yang telah Engkau terangkan dalam kitab-kitab-Mu kepada nabi-nabi-Mu.
“Yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu”

Iaitu nama-nama yang Engkau telah rahsiakan dan tidak diketahui seorang pun. Ini menunjukkan terdapat nama-nama Allah yang tiada dalam al-Quran dan al-Hadis yang hanya diketahui oleh Allah. Oleh itu hadis Nabi SAW berkaitan 99 nama Allah bukanlah bermaksud Allah hanya ada 99 nama sahaja.

“Jadikan al-Quran sebagai kegembiraan hati ku”

Menjadikan al-Quran sebagai kegembiraan dan penenang hati ku.

“Cahaya di dada ku”

Melapangkan hatiku kerana apabila dada lapang, maka ia akan bercahaya, lapang dan damai. Di mana tempatnya hati itu? Di dalam dada. Jadi lapangkan dadamu dan bersihkan hatimu.

“Penghilang kesedihanku dan penghapus kerisauanku”.

Menjadi penghilang rasa sedih untuk apa yang berlaku dan membuang rasa risau untuk apa yang bakal berlaku.

Semua kita tahu bahawa hati adalah organ terpenting yang ada di tubuh manusia. Maka ketika orang tidak menjaga hatinya, ia menjadi kotor, dadanya sempit. Apa yang harus kita lakukan?

Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat satu organ, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” (Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599))

Ada ketikanya dada kita terasa sempit dan sakit. Kita perlu membetulkan mindset atau cara berfikir kita tentang kehidupan ini, kalau tidak akan susah untuk melapangkan dada dan membersihkan hati kita. Dada akan menjadi sempit dan sakit, kalau hati tidak baik atau tidak benar dengan Tuhannya. Penyebab semuanya ini adalah diri kita sendiri. Kita sahaja yang boleh membersih dan melapangkan dada untuk berhadapan dengan perjalanan hidup ini.

Lihat apa yang telah berlaku kepada Nabi Ayub, Allah SWT timpakan bala’. Nabi Nuh di uji dengan anak dan isterinya yang tidak mahu mengikutnya walaupun Beliau sudah berdakwah 950 tahun, Nabi Ibrahim diuji dengan ayahnya. Nabi Yusof berhadapan dengan abang-abangnya. Ingatlah, Allah SWT menjadikan kehidupan ini ujian!.

Akan ada perbuatan dan perkataan yang akan menoreh luka. Ada prasangka yang membuah derita, menjadikan dada sesak, menjadikan rasa disakiti dan terluka. Menangislah seandainya tangisan itu melapangkan dadamu, maka menangislah kepada sesiapa yang terkena musibah seperti kesakitan, kesusahan, kesedihan, tekanan, kehilangan. Cuma yang dilarang menjerit-jerit, mencela-cela dan berlama-lama di dalam kesedihan dan berprasangka yang bukan-bukan terhadap Allah SWT. Rasulullah SAW juga menangis ketika meninggal anaknya Ibrahim.

Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, katanya yang bermaksud:  “Kami pergi bersama Rasulullah SAW menemui tukang besi bernama Abu Saif, dan dia ialah suami kepada ibu susu Ibrahim (anak Nabi). Rasulullah SAW mengambil Ibrahim dan menciumnya serta mencium baunya dan kemudian kami memasuki rumah Abu Saif selepas itu. Pada masa itu Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir, lalu mata Rasulullah SAW mulai bergenangan. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: ‘Tuan menangis wahai Rasulullah?’ Baginda SAW bersabda: ‘Wahai Ibn ‘Auf, ini ialah rahmat.’ Kemudian air mata Baginda mengalir lagi. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya mata menitiskan air mata dan hati bersedih, kami tidak akan mengucapkan sesuatu melainkan apa yang Tuhan kami reda. “Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahan ini.’” (Riwayat al-Bukhari (1303))

Dan apa kata Allah SWT dalam surah al-hijr ayat 97-99, yang menceritakan tentang bagaimana perjuangan Rasulullah SAW menyampaikan agama Allah SWT ini, yang mana membuat hati Beliau terhiris sakit, dadanya menjadi sesak, menyempit dada Beliau. Ramai yang menuduh Beliau seorang penyihir, dukun, orang gila, pembohong dan tuduhan ini disebarkan kemana-mana sahaja. Apa kata Allah SWT dalam isu ini:

“Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa dada engkau menjadi sempit dengan apa yang mereka ucapkan.”

“Maka, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang bersujud solat.”

“Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin, ajal.” (Al-Hijr: 97-99)

Allah SWT mengetahui perbuatan yang membuat dada Nabi SAW menjadi sempit. Tetapi itulah realiti kehidupan. Kita akan menghadapi orang-orang yang menyakiti kita, yang memfitnah kita dan orang-orang yang tidak suka kepada kita. Tetapi kadangkala, kitalah juga penyebab dada kita menjadi sempit kerana dosa-dosa kita, kecintaan kita kepada dunia, kita terlalu berharap kepada makhluk, berpaling dari syariat Allah SWT di samping ada juga penyebabnya oleh orang lain di sekeliling kita.

Allah SWT sengaja menjadikan sesuatu itu terjadi sebagai ujian untuk hamba-Nya. Sebab itu Allah SWT berfirman dalam ayat 98 di atas, “bertasbihlah engkau” Inilah amalan yang kita kena lakukan. “Subhanallah wabihamdihi subhanallahil adzim”  yang ertinya “Maha Suci Allah dengan segala puji bagi-Nya, Maha Suci Allah yang Maha Agung.” Pujilah Allah di waktu pagi dan petang, dalam sujud dan rukuk kita. Kitalah yang bersalah asbab hadirnya ujian dalam hidup kita kerana Allah Maha Suci dari sebarang ketidakadilan.

Dan jangan lupa memuji Tuhanmu dengan ‘alhamdulillah’. Terlalu banyak nikmat Allah SWT ke atas kita. Kita tidak mampu mengawal orang menjadi seperti apa yang kita inginkan dan menyuruh mereka diam atau berhenti dari berkata sesuatu yang buruk terhadap kita. Cuma yang mampu kita lakukan melapangkan dada kita dengan sentiasa ingat dan bersyukur kepada Allah SWT, bertasbih dan memuji Allah SWT dalam setiap masa dan menjaga ibadah kita sampai mati. Ingatlah, sebesar mana pun masalah kita, ketika mendengar azan, semuanya akan menjadi kecil, yang besarnya cuma Allah SWT!.

Allah SWT telah anugerahkan al-Quran kepada Rasulullah SAW untuk diajarkan kepada umat akhir zaman, agar dapat dijadikan panduan dalam melalui kehidupan ini  dan dapat melihat, mendengar dan berfikir dengannya. Dan lihat apa yang Allah SWT hendak ketengahkan dalam surah al insan ayat 1-5, yang digalakkan membacanya setiap solat subuh hari jumaat di rakaat kedua:

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)?”

“Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.”

“Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).”

“(Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang.”

“Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan air “Kafur”.” (Al-Insan: 1-5)

Asalnya kita tidak ada, kemudian kita ada. Allah SWT berikan semua kemudahan kepada kita. Allah SWT jadikan dunia tempat ujian, ada pembalasan atas apa yang kita lakukan, bukan di dunia tetapi di satu masa nanti, di akhirat apabila dunia telah hancur di mana semua kebanggaan, kesombongan dan cinta dunia manusia ditelan oleh bumi.

Di hari perhitungan, akan ada orang baik yang bersyukur dan orang jahat yang kufur. Kita berada di dalam golongan yang mana? Allah SWT sudah nyatakan yang hidup ini ujian. Ada yang masuk syurga dan neraka. Allah SWT ceritakan bagaimana mereka menjalani kehidupan ini:

“Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.” (al-Insan: 12)

Kerana kesabaran mereka, Allah SWT berikan balasan syurga. Jadi kita perlu sabar melaksanakan perintah Allah SWT, menjauhi larangan-Nya dan bersabar dengan ujian-ujian dan gangguan-gangguan yang tidak kita senangi.

Dalam berinteraksi dengan manusia yang mempunyai latar belakang yang berbeza dengan kita. Contoh bagaimana seorang menantu berlapang dada berhadapan dengan mentuanya yang mungkin tidak seperti yang mereka harapkan dan sebaliknya. Dan bagaimana pula seorang suami berlapang dada berhadapan dengan isteri yang mungkin tidak ideal seperti yang mereka harapkan dan sebaliknya. Tetapi itulah suami dan isteri yang menjadi ibu dan ayah kepada anak-anaknya. Apa yang mesti dilakukan?

Kasih sayang, belas kasih atau empati dan ketenangan jiwa hanya akan ada di saat kita sudah sediakan mindset atau pola fikir kita bahawa hidup ini adalah ujian, bukan untuk bersuka-suka melakukan apa sahaja yang kita mahukan.

Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhluk-Nya).” (al-Furqan: 20)

Jadi kena bersabar. Kalau marah-marah maka hatimu akan sakit dan dadamu akan sesak. Lihatlah bagaimana Nabi Musa AS menghadapi Firaun, yang mana bayi-bayi lelaki dibunuh dan yang perempuan-perempuan dijadikan hamba-hamba. Kisah ini sangat panjang yang Allah SWT ceritakan di dalam surah al-Qasas. Akhirnya mereka menang atas kesabaran mereka.

Sesiapa yang sentiasa menjadikan dirinya sabar, akhirnya Allah SWT akan menjadikannya seorang yang penyabar yang dapat menahan emosinya walaupun mereka sedang marah. Mereka berjaya kerana tidak ikut nafsu amarah maka terselamat dari melafazkan kata-kata yang kotor.

Thabit bin Qurrah pernah berkata, “Sihat dan ringannya tubuh itu dengan sedikit makan, rehatnya roh dan jiwa itu dengan ditinggalkan dosa dan rehatnya lisan dengan perkataan yang sedikit. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan.”

Apa yang membuat dada kita menjadi lapang, hati kita menjadi bersih dan hidup kita menjadi damai?

Bertaubat:

“Setiap anak Adam melakukan kesilapan, tetapi sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat.” (Riwayat al-Baihaqi)

Bertaubatlah dan jangan merasa diri suci. Jangan fikir tentang orang lain yang teruji kerana balasan atas dosa-dosa mereka sebab kita adalah pendosa. Dan kita tahu dosa dan kemaksiatan di hati itu seperti racun ditubuh kita. Kalau racun itu tidak membunuh, racun itu akan menjadikan tubuh kita akan jadi lemah dan tidak mampu melawan penyakit yang ada dan mudah diserang penyakit.

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadhus Shalihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga:

Menjauhi dan meninggalkan maksiat

Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.

Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.

Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):
Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan. (Lihat Riyadhus Shalihin, hlm. 41-42)

Memperbanyak istighfar.

Setelah bertaubat, istighfar jangan berhenti.

Nabi SAW berkata kepada para sahabatnya yang bermaksud: “Wahai manusia bertaubatlah kamu kepada Allah SWT dan mintalah ampunan kepada-Nya, karena sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak seratus kali.”  (Riwayat Muslim (1452))

Kadangkala hati itu ditutupi dosa yang menjadikannya sempit. Jadi bertaubatlah dari dosa-dosa yang sudah dilakukan seperti yang dikatakan Nabi SAW dalam sabda Baginda yang bermaksud: ”Sesiapa yang sentiasa beristghfar, Allah SWT akan memberikan jalan keluar dalam setiap kesusahan dan memberikan kemudahan dalam setiap kepayahan dan memberikan rezeki yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Abu Daud no hadis 1518 )

Mentauhidkan Allah SWT.

Membersihkan hati dari segala ketergantungan dan harap kepada selain Allah SWT. Sentiasa memperbaharui kalimah syahadah:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ

Syarat-syarat dan rukunya dipenuhi. Orang-orang yang melakukan kesyirikan adalah orang-orang yang sempit dadanya walaupun zahirnya hidup dalam ceria dan bahagia.

Di saat seorang mukmin ini mentauhidkan Allah dengan disempurnakan rukun imannya maka akan lapang dadanya. Walaupun berbagai badai ujian yang menimpa, tetapi masih menyebut kalimah tauhid di pagi dan petang atau dalam apa sahaja keadaan.

Rasulullah SAW bersabda:

عن ابي سعيد الخدري يقول: أن رسول الله –صلى الله عليه وسلم- قال: من قال: رضيت بالله ربا، وبالإسلام دينا، وبمحمد –صلى الله عليه وسلم- رسولا وجبت له الجنة

Sesiapa mengucapkan, “Aku reda Allah SWT sebagai Rabb, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Rasul” pasti dia mendapat syurga. (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nas’’i, Ibnu Majah dan lain-lain).

Nabi Yunus Ketika di perut ikan paus, Beliau menyebutkan kalimah tauhid:

لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

“Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (al-Anbiya’: 87)

Kembali kepada Allah SWT.

Dalam kesibukan kita mencari dunia dan berinteraksi dengan manusia maka kembalilah kepada Allah SWT dengan terus bersabar, bersemangat dan istiqamah melakukan ibadah dan ikutlah apa yang telah diajarkan Allah SWT di saat berhadapan ketika ditimpa musibah dan ujian dengan sabar dan solat di samping melakukan ketaatan-ketaatan yang lain:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar,” (Al-Baqarah: 153)

Cinta.

Membina dan menyuburkan rasa cinta kepada Allah SWT. Seseorang yang dipenuhi rasa cinta, dia akan merasakan sesuatu yang ajaib di dalam dirinya. Kita sering mendengar ungkapan, “Demi cinta ini, gunung tinggi sanggup ku daki, lautan api sanggup ku renangi.” Inilah semangat dan rasa yang mesti ada demi untuk pengorbanan hakiki kepada Allah SWT.

Yang menyebabkan dada kita sempit dan lupa kepada Allah SWT adalah di ketika kita cinta dunia. Kenapa? kerana di ketika itu kita akan membuat perbandingan diri kita dengan orang di sekeliling kita dan berburuk sangka dengan Allah SWT sedangkan Allah SWT telah memberikan cinta-Nya dan memenuhi segala keperluan manusia untuk menjalani kehidupan ini.

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai satu kaum nescaya Dia akan memberikan ujian kepada mereka. Maka barangsiapa yang reda (dengan ketetapan Allah), maka Allah akan reda kepadanya. Dan barangsiapa yang tidak reda, maka Allah pun tidak akan reda kepadanya.” (Riwayat al-Tirmizi (2320) dan Ibnu Majah (4021))

Jadi sekarang cinta kita dimana? Adakah cinta kepada Allah SWT? Atau cinta kepada orang-orang yang dicintai oleh Allah SWT? Atau cinta kepada amalan-amalan yang dicintai oleh Allah SWT, atau kepada orang-orang yang soleh dan kepada orang-orang miskin? Atau kepada idola-idola yang berbuat dosa, mengkaguminya dan mengikut cara hidup mereka? Kalau yang akhir itu yang kamu pilih maka tidak akan lapang dadamu. Rasa damai tapi untuk sekejap dan akhirnya hilang.

Memperbanyakkan zikrullah.

Mengingat Allah SWT dalam apa sahaja keadaan dari bangun tidur dan tidur Kembali. Orang yang lalai, sedikit mengingat Allah SWT. Maka sesuai dengan zikrullah yang dia lakukan, maka sebanyak itu jugalah dadanya akan lapang. Dunia ini luas, jadi carilah jalan solusi yang benar mengikut cara hidup Islam. Jangan ikut jalan yang sempit yang penuh gangguan dari nafsu dan syaitan, akhirnya terperangkap kepada kebinasaan dan kerugian.

Diantara zikir-zikir yang diajarkan oleh Nabi SAW ialah:

Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tiada seseorang hamba ketika ditimpa rasa bimbang dan sedih sama sekali lalu membaca doa ini yang bermaksud, “Ya Allah! Sesungguhnya daku adalah hamba-Mu, anak kepada hamba lelaki-Mu dan anak kepada hamba perempuan-Mu. Ubun-ubunku di dalam gengaman tangan-Mu, telah berlalu atasku hukuman-Mu, telah adillah untukku ketentuan-Mu, Aku mohon kepada-Mu dengan setiap nama (baik) yang telah Engkau namakan untuk diri-Mu, atau dengan setiap nama yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhluk-Mu atau dengan nama yang Engkau khususkan pengetahuan tentangnya kepada diri-Mu dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, agar Engkau menjadikan Al-Qur’an itu sebagai kegembiraan hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.”  Melainkan Allah SWT akan menghilangkan rasa bimbangnya dan menggantikan rasa sedihnya dengan kegembiraan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah: Sewajarnya kami mempelajari (menghafal) kalimat-kalimat doa ini! Baginda menjawab: Sudah tentu, bagi yang  mendengarnya untuk dia mempelajari.” (HR Ahmad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah)

Dengan doa ini akan melapangkan dada kita kerana kita sedar bahawa kita hamba yang reda dengan setiap takdir-Nya, baik lagi adil dan tiada kezaliman di sana. Allah SWT akan hilangkan semua kegelisahan kita dan diganti dengan kegembiraan.

Dari hadis Abdullah ibnu Abbas RA, menyatakan Nabi SAW membaca doa ini ketika Nabi berasa sakit teruji dan ketika dalam kesulitan:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

Tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Besar lagi Maha Penyantun. Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy yang agung. Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan langit dan Tuhan bumi dan Tuhan Arasy yang mulia.

(Sahih Bukhari, Hadith: 6346 dan Sahih Muslim, Hadith: 2730)

Berbuat baik kepada orang lain.

Menolong orang juga sebagai usaha untuk melapangkan hati, baik dengan harta, kedudukannya, kecerdikannya, kemahirannya dan apa sahaja. Kalau kita berbuat baik kepada orang lain akan terasa satu nikmat. Sebaliknya orang yang kedekut diumpamakan seperti orang pakai baju besi, setiap kali dia pakai baju besi semakin tertekan seperti juga semakin dia mengeluarkan hartanya untuk orang lain semakin dia rasa tertekan dan sempit dadanya. Impak dari menolong orang lain, Allah SWT akan beri kelapangan dan kemudahan.

Nabi SAW  bersabda yang bermaksud: “Siapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia maka Allah SWT akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah SWT akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah SWT akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah SWT akan membantu hamba-Nya selagimana hamba-Nya membantu saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Mengeluarkan dari hati kita sesuatu yang membuatkan sempitnya dada kita.

Jadi jangan masukkan semuanya ke dalam hati kita yang hanya akan menoreh luka hati kita. Keluarkan hasad dengki, iri hati, buruk sangka dengan orang, yang akan menjadikan kita ambil tahu hal orang dan mencari-cari aib orang. Jadi keluarkan hal-hal yang tidak berguna untuk dirimu kerana ianya akan menyempitkan hatimu.
Sesuatu yang bukan urusan kita, jangan diuruskan. Jadi untuk mendapatkan dada yang lapang keluarkan semua sifat-sifat terkeji, mazmumah dari hati kita dan gantilah dengan sifat-sifat terpuji, mahmudah dan mintalah kepada Allah SWT agar diakhiri dengan yang baik-baik sahaja.

Kurangkan kelebihan memandang dan mendengar.
Contohnya terlalu suka menonton drama-drama atau isu-isu yang tidak bermanfaat dan tidak meningkatkan iman di media social (medsos) dan mendengar perkara-perkara yang berupa umpatan, fitnah, adu domba dan sebagainya. Jadi berusahalah meninggalkannya dan membersihkan minda dari perkara-perkara yang menyempitkannya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Al-Baqarah: 208)

Katalah لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله.

“Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah”. Ungkapan ini mengandung makna penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT dan pengakuan bahwa segala kekuatan dan daya berasal dari-Nya. Dengan tawakkal kita inilah akan melapangkan dada kita.

Membaca al-Quran.

Dengan membaca al-Quran, dada kita akan jadi lapang dan hati akan jadi bersih kerana seluruh hidup dalam panduan dan hidayah Allah SWT. Jadi hidup akan lebih terarah dan terhindar dari kebingungan. Kita berhak hidup bahagia dan kita tidak perlu tenggelam dalam kesedihan, kecemasan, kerisauan kerana kita sedar bahawa kita cuma hamba yang sudah ditetapkan semua takdirnya oleh Allah SWT.

Penutup

Ada masa di mana hati kita terasa sempit. Seakan dunia menutup semua pintunya, dan udara kehidupan serasa menekan dari segala arah. Beban fikiran semakin memberat, harapan yang tak kunjung jadi kenyataan, kelelahan batin yang tak mampu kita berbagi kepada sesiapa pun. Dalam momen seperti itu, kita bertanya: mengapa hati ini terasa begitu sempit? Apakah Allah SWT meninggalkan kita?

Namun sesungguhnya, sempitnya hati bukanlah tanda bahwa Allah SWT menjauh. Justeru ia adalah panggilan-Nya agar kita kembali mendekat. Sempitnya hati boleh menjadi wasilah (jalan) agar kita mengalihkan pandangan dari dunia menuju langit. Sebab, di saat dunia gagal menenangkan, hanya Allah SWT yang mampu membahagiakan dan melapangkan dada kita.

Lihatlah bukti cinta Allah SWT kepada hamba-Nya dalam hadis Qudsi di bawah.

Hadis Qudsi daripada Anas ‎RA daripada Nabi SAW yang baginda riwayatkan daripada Rabbnya berfirman yang bermaksud: “Jika seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadanya sehasta, jika dia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa, dan jika dia mendekatkan diri kepada-Ku dengan berjalan maka Aku akan mendatanginya dengan berlari.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari no. 7536)

Wallahu’alam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 28/8/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -