RUU Perolehan Kerajaan 2025 tempang

- Advertisement -

PAS PUTRAJAYA kesal dengan sikap pongah Kementerian Kewangan yang tidak mempeduli bantahan daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang, organisasi masyarakat sivil dan tokoh individu waima segelintir ahli Parlimen kerajaan terhadap Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 yang diluluskan hari ini.

- Advertisement -

Secara prosedur, RUU Perolehan Kerajaan ini tidak dikemuka kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar (BN) untuk diteliti walaupun ia telah termaktub dalam Perkara 80(B)(3)(a) Peraturan Mesyuarat yang baharu dipinda pada tahun 2023 lalu.

Perkara 80(B)(3)(a) menyatakan bahawa menjadi kewajiban Jawatankuasa untuk meneliti Rang Undang-Undang berkaitan dengan Kementerian yang telah dibacakan kali pertama. Pihak kerajaan meletakkan RUU tersebut (blue bill) di atas meja ahli-ahli Parlimen pada hari Isnin (25 Ogos 2025) dan terus dibahas pada dua hari kemudian (27 Ogos 2025).

Persoalannya, mengapa RUU yang memberi kesan besar ke atas tatacara perolehan kerajaan dibentang untuk dibahas secara terburu-buru? Walaupun ia didakwa pernah diusulkan sejak tahun 2018 dan dilibat urus dengan pemegang taruh beberapa kali, namun terdapat banyak kelompangan besar dalam RUU tersebut.

Tidak dinafikan terdapat beberapa perkara yang ditambah baik, namun pemusatan besar kuasa kepada Menteri Kewangan adalah tindakan jelik. Walhal, Pakatan Harapan sendiri juga yang membantah seorang Perdana Menteri untuk menjawat jawatan Menteri Kewangan bagi mengelakkan kerakusan kuasa dan konflik kepentingan. Ternyata, mereka sendiri yang mengkhianati manifesto dan janji reformasi institusi.

Sekiranya dilihat dalam pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2025, isu yang dihadapi oleh Kementerian Kewangan adalah berkaitan Tatakelola Jawatankuasa Perolehan Tender. Jabatan Audit Negara (JAN) mendapati kaedah perolehan prakelayakan terpilih bagi projek Kementerian Kewangan telah menyenarai pendek syarikat-syarikat yang tidak layak di peringkat akhir proses perolehan. Perkara ini membuktikan aspek tatakelola di bawah YAB Menteri Kewangan tidak berjalan dengan baik.

IDEAS yang mempertikai hal ini mendakwa RUU tersebut tidak memenuhi piawai ketelusan dan pemantauan seperti yang digariskan oleh United Nations Commission on International Trade Law. Sebagai contoh, Seksyen 2(2) memberi pengecualian kepada Menteri Kewangan dalam meluluskan peruntukan kepada syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun.

Selain itu, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dan G25 (Kumpulan Bekas Penjawat Awam Kanan) mendakwa menteri tidak terikat dengan syor Lembaga Perolehan, berkuasa untuk meluluskan kontrak perolehan bernilai lebih RM50 juta dan RM100 juta. Bahkan, keputusan yang dibuat oleh menteri adalah muktamad.

PAS Putrajaya berpandangan perkara-perkara serius seperti ini tidak ditanggapi kerajaan dengan baik dan terus membabi buta meluluskan RUU ini. Meskipun 125 ahli Parlimen bersetuju untuk meluluskannya namun ia tempang dan gagal menyelesaikan perkara utama dalam memastikan ketelusan sistem perolehan kerajaan yang diperjuang selama ini.        

Terima kasih.

MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Putrajaya – HARAKAHDAILY 29/8/2025

- Advertisement -