Rakyat bukan objek gunting pita dalam demokrasi

- Advertisement -

DALAM demokrasi, rakyat mempunyai kuasa untuk memilih pemimpin mereka dan membuat keputusan mengenai dasar negara. Kosa kata demokrasi berasal dari bahasa Yunani, demokratia, yang bermaksud “pemerintahan rakyat”.

- Advertisement -

Ciri utama dalam demokrasi yang menjadi asas penting untuk memastikan individu mempunyai suara dalam pemerintahan dan mencegah penyalahgunaan kuasa ialah kebebasan bersuara, dan hak asasi. Manakala keadilan sosial pula dari segi sifatnya merangkumi usaha untuk memastikan kesamarataan peluang dan hak kepada semua individu, tanpa diskriminasi tetapi dalam kasus negara klausa “Raja Berperlembagaan” merujuk perlembagaan atas prinsip rukun negara dan nilai sejarah dan stigma budaya serta etika masyarakat majmuk.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan diketuai oleh Perdana Menteri sebagai Ketua Eksekutif dan rakyat memilih wakil untuk membentuk parlimen yang menggubal undang-undang. Kuasa perundangan dibahagikan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, dengan Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi.

Pemimpin yang dipilih dan mewakili rakyat disapa wakil rakyat. Mereka penggubal undang-undang dan dasar sama ada peringkat negeri atau negara. Dalam hal ini pemimpin yang menjadi wakil rakyat perlu adil dan amanah sebagai prasyarat menolak politik wang kerana rakyat yang baik atas peraturan digubal oleh wakil rakyat yang baik terutama sifat amanah.

Sebaliknya dikesan wakil rakyat merasa mereka lebih tinggi darjat kerana pengundi salah pilih apabila diberi wang sedangkan namapun wakil kepada rakyat kekal di bawah hanya datang acara dan majlis untuk gunting-gunting pita dan perasmian program.

Anehnya wakil rakyat dijadikan bosnya oleh rakyat menyebabkan mereka berasa lebih tinggi. Ini punca pengundi salah memilih wakil rakyat kerana mereka membuat undang-undang dan dasar negara bukan ulama dan ahli akademik.

Di negara ini ahli parlimen majoriti Melayu dan muslim tetapi kalian tidak merasa kepimpinan Islam, tidak juga disalahkan mereka kerana tidak mencerminkan kepimpinan Islam yang baik kerana yang pilih mereka berdasarkan duit.

Pemimpin yang bagus dan baik seperti amanah, kreditbiliti, bijaksana, adil, dan peduli rakyat tetapi yang diundi mereka yang tidak faham agama. Pada hal pemimpin yang adil dan amanah prasyarat tolak politik wang kerana rasuah punca pemimpin itu akan berusaha kembalikan wang pelaburan politik.

Wakil rakyat diingatkan bahawa masyarakat tidak pernah mewakilkan anda melanggar hukum, adab, nilai dan etika serta prinsip yang termaktub dalam perlembagaan negara. Apabila ada gangguan oleh masyarakat mereka turun meminta ahli agama membantu namun tegar onar mengancam kemakmuran. Sebagai elit bangsa pula mahu membawa bangsa dan nusa tanpa visi yang jelas apalagi misi yang pincang hingga rakyat jadi objek permainan politik retorik.

Politik suatu kekuasaan memimpin dan mengatur kehidupan harian masyarakat. Tanpa sedar manusia dari lahir hingga mati diatur kuasa poiltik. Sinonimnya berdiam menjadi derita kerana nasib tidak harus dibiarkan ahli politik tanpa rakyat bersuara.

Sabda Rasullullah SAW tentang pemimpin suatu kaum kemudian wafat dalam keadaan zalim dan curang kepada rakyat diharamkannya masuk syurga. Sifat pemimpin yang zalim dan curang tidak mungkin memajukan masyarakat secara holistik kerana fokusnya kronimisme.

Pemimpin perlu menetap keyakinan visi yang jelas dalam diri meskipun berdepan ancaman dan tentangan tetapi dapat menghadapi dan mengendali dengan solusi dan tindakan sistematik. Namun kesedihan dan kesusahan suatu ujian untuk merealisasi hasrat dan impian projek yang direncanakan bukan untuk lemah dan kecewa. Ini bertepatan ayat Quran surah Al Imran ayat 142 bahawa tidak mudah mencapai impian melainkan diuji agar sukses di dunia dan akhirat.

Dr Zulkeflee Yaacob

DR. ZULKEFLEE YAACOB
Psikososio @ Pakar Penasihat Wanita Kelantan – HARAKAHDAILY 30/8/2025

- Advertisement -