
ALOR SETAR : Semua jawatan utama dalam Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama PAS Pusat kekal tanpa pertandingan apabila Ketua, Timbalan dan Naib masing-masing disahkan menang tanpa saingan dalam pemilihan kali ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Dewan Ulama yang diketuai Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahya turut tidak dipertandingkan termasuk 12 jawatankuasa yang dipilih tanpa saingan.
“Calon yang akan bertanding bagi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat seramai 30 orang untuk mengisi 18 kerusi, manakala Dewan Pemuda 20 calon bagi 12 kerusi serta Dewan Muslimat 16 calon untuk 12 kerusi,” jelasnya.
Beliau turut mengumumkan bahawa lima jawatan tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden serta tiga Naib Presiden juga kekal tanpa pertandingan selepas tamat tempoh pencalonan.
“Secara rasmi, PAS sesi 2025-2027 menyaksikan Presiden kekal diterajui oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Idris Ahmad, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah,” katanya.
Menurut beliau, pada awalnya terdapat empat pencalonan bagi jawatan Naib Presiden, namun selepas tarikh tutup hanya tiga calon yang mengesahkan.
“Maknanya kesemua penyandang menang tanpa bertanding selepas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak pencalonan,” katanya dalam sidang media di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut pada Sabtu.
Takiyuddin menegaskan, kestabilan dalaman parti memberi ruang kepada PAS untuk menumpukan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) serta melaksanakan pembangunan di negeri-negeri yang ditadbir iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
“Kita bersyukur kerana PAS adalah parti yang stabil. Fokus utama PAS adalah penyatuan ummah dan rakyat Malaysia.
Kita menjemput semua pemimpin parti politik termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden parti-parti yang bersama dengan kita untuk bersama menggerakkan agenda penyatuan,” katanya.
Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-71 akan berlangsung pada 15 dan 16 September dengan kehadiran 4,200 perwakilan dari seluruh negara.
Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-66 dijadual pada 11 dan 12 September, diikuti Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-65 pada 13 September di Kompleks PAS Kedah. Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS pula akan diadakan di Darul Hadis Tok Keling pada tarikh sama.
Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan berlangsung di Gandhi Hall Sungai Petani manakala Konvensyen Assabiqun di Sekolah Rendah Agama Al-Akhlaq Al-Islamiyah (SAIF), Guar Chempedak pada 13 September. – HARAKAHDAILY 31/8/2025











